1,296 kg ayam sejuk beku bernilai RM57,960 dirampas



Rantau Panjang: Sebanyak 1, 296 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai RM57,960 dirampas anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di pengkalan haram Jitong, Jeram Perdah, Pasir Mas, awal pagi hari ini.


Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian jam 5 pagi tadi, anggota membuat rondaan sebelum terserempak enam lelaki sedang memunggah kotak dari perahu ke dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih.


Katanya, anggota kemudian menghampiri kumpulan lelaki terbabit, namun kesemua mereka bertindak melarikan diri menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok untuk ke negara jiran, Thailand.


"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan mendapati, kotak berkenaan berisi ayam sejuk beku seberat 720 kilogram sebelum ia dirampas oleh anggota bertugas.


"Tidak lama selepas itu, anggota menemui sebuah lagi Perodua Myvi berwarna kelabu berhampiran lokasi pertama yang menemukan 576 kilogram ayam sejuk beku dan tiada juga tangkapan dibuat bagi serbuan kedua.


"Kesemua ayam sejuk beku serta kenderaan dirampas untuk diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi membuat siasatan dan tindakan lanjut," katanya .


Azhari ditemui pada sidang media rampasan ayam sejuk beku di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, di sini, hari ini.


Tambahnya, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.


"Dalam tempoh seminggu sahaja, terdapat tiga kes membabitkan penyeludupan ayam sejuk beku berjaya dibanteras dengan nilai termasuk rampasan kenderaan berjumlah lebih RM124,000 yang mana kesemuanya dirampas di lokasi sama iaitu pangkalan haram Jitong, Jeram Perdah.


"Pihak PGA7 sedang mengatur strategi mengadakan suatu operasi khas bagi menangani isu penyeludupan ayam sejuk beku di lokasi terbabit, kerana ia bukan sahaja dianggap sebagai kes jenayah rentas sempadan tetapi juga membabitkan status halal yang turut diragui.


"Selain itu, pihak kami turut mengubah strategi penugasan kepada beberapa taktik baru yang tidak boleh dimaklumkan bagi faktor kerahsiaan selain memohon Skuadron Kereta Perisai 9 Kuantan bagi membantu penugasan di Op Benteng Covid-19," katanya.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.