1.9 juta rakyat Kelantan terlibat dalam Banci Malaysia 2020


KOTA BHARU, 12 Julai -- Seramai 1.9 juta rakyat Kelantan terlibat dalam Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang bermula 7 Julai lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) Kelantan.

Pengarah JPM Kelantan Zuraidy Zainal Abidin berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 30,000 kediaman untuk fasa pertama yang dijalankan sehingga 30 Sept ini dengan kaedah pengumpulan data secara dalam talian (e-Census).

“Setakat ini kira-kira 3,000 kediaman sudah dilawat melibatkan daerah Kota Bharu, Tanah Merah, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh. Kaedahnya adalah dengan menghantar poskad Banci Malaysia 2020 ke rumah yang dikenal pasti yang mempunyai akses Internet tinggi.

“Poskad itu mempunyai nombor ID unik bagi membolehkan isi rumah berkenaan mendaftar masuk ke dalam sistem e-Census, bagi isi rumah yang tidak mendapat poskad berkenaan boleh juga mendaftar secara dalam talian untuk mendapatkan maklumat ID,” katanya kepada pemberita di Kampung Chicha, Kubang Kerian di sini hari ini.

Zuraidy berkata kira-kira 150,000 penduduk Orang Asli di Gua Musang dan Jeli akan turut terlibat dalam Banci Malaysia 2020.

Beliau berkata banci fasa kedua bermula 7 hingga 24 Okt ini iaitu kaedah temu ramah secara bersemuka akan dijalankan di perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli yang mempunyai masalah dari segi akses Internet.


Zuraidy berkata, dalam penugasan bancian, orang ramai yang berasa curiga dengan kehadiran pembanci boleh mengesahkannya menerusi etika pemakaian selain kad pengenalan yang dilengkapi nama, nombor kad pengenalan dan nombor siri pembanci yang ditandatangani Penolong Pesuruhjaya Banci bagi kawasan terbabit.

"Dalam program ini, mana-mana pihak yang berasa curiga boleh menghubungi nombor telefon pegawai yang tertera di surat iringan atau 'hotline' Banci 2020 iaitu 1-800-88-7720," katanya. -- BERNAMA




Sumber: Bernama

1 view0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.