200 petani manfaatkan MyPadiManager



SERDANG- Kira-kira 200 petani memanfaatkan aplikasi mudah alih MyPadiManager bagi menguruskan penanaman padi secara efisien dan lebih sistematik.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, aplikasi yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu menyenaraikan jadual aktiviti penanaman padi serta memberi mesej peringatan tentang tanaman kepada petani.


“MyPadiManager ini meningkatkan kadar pematuhan aktiviti penanaman padi mengikut amalan terbaik bagi setiap varieti padi yang ditanam. Pengguna juga dapat menyemak aktiviti yang perlu dilaksanakan dengan lebih pantas dan tepat.


“Aplikasi ini turut memberikan gambaran prestasi hasil penanaman padi yang telah dilaksanakan. Ini dapat membantu petani dalam menetapkan sasaran bagi musim penanaman yang akan datang serta menguruskan maklumat penanaman secara lebih sistematik,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan (DigAc) 2020 di sini hari ini,


Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor.


Aplikasi berkenaan dapat dimuat turun melalui Appstore dan Google Playstore.


Tambah Ronald, inovasi ini juga sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan penglibatan anak muda dalam bidang pertanian selain sebagai satu inisiatif supaya industri bergerak ke arah Internet Of Things (IoT).


Hal ini berikutan katanya, 70 peratus pengeluaran makanan sangat bergantung kepada inovasi teknologi yang lebih moden pada masa hadapan.


Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha MARDI yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Malaysian Commercialization Year 2020 yang berlangsung secara dalam talian Khamis lepas.


Teknologi Keropok Ikan Empat Segi dan Dulang Pengeringan telah dinobatkan pemenang utama Anugerah Usahawan Sosial dan teknologi Baja RealStrong N Bio Booster mendapat hadiah sagu hati bagi Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan.



-- UTUSAN ONLINE

0 views0 comments