310 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM1,000


KUALA LUMPUR: Seolah-olah tidak takut dengan penularan pandemik COVID-19, lebih 300 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara, Petaling Jaya sanggup bersesak hanya untuk berhibur.


Bagaimanapun, keterujaan mereka berhibur terhenti selepas premis itu diserbu sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, kira-kira jam 11 malam tadi, menerusi Operasi


Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata kesemua 310 pengunjung terdiri daripada 200 lelaki dan 110 wanita, berusia lingkungan 20-an hingga 30-an diperiksa dalam serbuan itu.


"Kesemua 310 pengunjung itu dikenakan kompaun RM1,000 kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020.


"Selain itu, kita juga menahan 10 lelaki warga asing berusia antara 25 hingga 30 tahun kerana bekerja di pusat hiburan terbabit tanpa permit kerja sah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Turut ditahan, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang juga penjaga premis kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit sah selain menjalankan operasi pusat hiburan tanpa lesen.


Menerusi serbuan itu juga, pihak polis turut merampas pelbagai peralatan sistem audio dan visual yang digunakan pusat hiburan terbabit serta wang tunai RM9,350.


"Bilangan itu adalah yang tertinggi setakat ini membabitkan orang awam yang dikenakan kompaun kerana ingkar PKPP dalam tempoh satu malam.


"Pihak Polis Petaling Jaya kini akan mula melaksanakan tindakan lebih tegas termasuk menangkap mana-mana pihak yang didapati ingkar PKPP selepas ini," katanya lagi.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.