5,300 berjaya dapat kerja


INISIATIF kerajaan melalui MYFutureJobs berjaya membantu 5,300 individu mendapat pekerjaan dalam tempoh hampir sebulan.

Sehingga 13 Julai, ia berjaya menyenaraikan 129,169 kekosongan jawatan dengan 159,591 pencari kerja.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, insiatif itu dilihat berjaya membantu pencari pekerjaan dan majikan yang memerlukan pekerja dengan cara lebih berkesan.


"Ia dapat dilihat melalui 5,300 individu yang mendapat pekerjaan bagi tempoh 15 Jun hingga 10 Julai lalu," katanya dalam laporan Laksana ke-13 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini, semalam.


Menurutnya, bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, sejak pendaftaran dibuka pada 15 Jun lalu, sebanyak 2,800 pekerja mendapat pekerjaan melalui inisiatif ini iaitu 1,900 (bawah umur 40 tahun), 502 (40 tahun hingga 60 tahun), 22 (OKU) dan 347 (Perantis).


"Selain insentif yang bakal diperolehi, kelebihan inisiatif ini adalah program latihan dan peningkatan kemahiran bagi membantu belia dan penganggur kekal relevan ketika negara di dalam tempoh pemulihan krisis Covid-19.


"Majikan diseru menggunakan inisiatif ini untuk mencari dan menggaji pekerja," katanya.

Sementara itu, Bantuan Sosial bagi Golongan Mudah Terjejas iaitu bantuan sekali sebanyak RM300 akan disalurkan pada 30 Julai ini.


"Ia membabitkan orang kurang upaya (OKU) yang dianggarkan seramai 186,626 penerima dengan anggaran peruntukan RM56 juta, ibu tunggal (18,805 penerima, anggaran RM5.6 juta) dan perkhidmatan bantuan rumah (3,333 penerima, anggaran RM1 juta).




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments