93% guru pilih mengajar dalam kelas



KUALA LUMPUR: Sebanyak 93 peratus warga pendidik di negara ini memilih kaedah pembelajaran secara bersemuka sebagai pilihan utama kepada proses pembelajaran dan pengajaran (PnP) murid di sekolah.


Ia adalah hasil utama Kajian Pandemik Pasca Penjarakan Sosial Pasca COVID-19 yang dilaksanakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bersama 100 pakar pendidikan dalam negara.


Ketua penyelidik yang juga pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Nazri Abdul Rahman, berkata kajian itu membabitkan 10,428 responden pendidikan yang dilakukan pada April hingga awal Jun.


"Kajian mendapati 93 peratus guru memilih mengajar secara bersemuka di dalam kelas berbanding kaedah PnP yang lain.


"Namun sekiranya pedagogi (PnP) ini tidak dapat dilaksana dengan kebiasaan baharu pasca COVID-19, warga pendidik perlu lebih kreatif untuk mempelbagaikan kaedah PnP," katanya pada sidang media bagi membentangkan hasil kajian itu di ibu pejabat NUTP, hari ini.


Turut hadir, Presiden NUTP, Aminuddin Awang.


Mohd Nazri berkata susulan kajian itu, pihaknya mencadangkan empat kaedah PnP yang boleh dilaksana dan menjadi pilihan kepada guru terutama bagi persediaan warga pendidik mendepani PnP kebiasaan baharu selepas COVID-19.


"Hasil kajian pedagogi penjarakan sosial pasca COVID-19, pakar bersetuju memperkenalkan empat kaedah pedagogi PnP iaitu pembelajaran bersemuka, segerak, tak segarak serta offline (luar talian).


"Kaedah ini boleh dijadikan pilihan kepada guru dan sekolah untuk mengajar murid mengikut topik-topik (subjek) bersesuaian. Ada topik boleh dilakukan secara segerak, ada juga dibuat menerusi offline," katanya.


Antara pakar pendidikan yang terbabit dalam kajian itu ialah Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi; Prof Dr Saedah Siraj (UM); Dr Mohd Shahril Nizam Shahrom (UM); Dr Haireen Abdul Hadi (UM) serta pensyarah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.


Pembelajaran bersemuka adalah proses PnP yang mana guru mengajar dalam kelas seperti biasa, sementara segerak pula dilakukan secara langsung (live) menerusi aplikasi seperti Google Meet, Zoom, Skype dan panggilan video.


Sementara, kaedah tak segerak dan offline pula katanya, ialah model PnP yang dibuat secara rakaman video serta pemberian tugasan tertentu kepada murid tanpa perlu mereka hadir ke sekolah.


Ditanya sama ada kaedah segerak, tak segerak serta offline akan menjejaskan pemahaman, tumpuan dan disiplin murid, Mohd Nazri berkata, ia bergantung kepada kreativiti guru dalam menyampaikan PnP berkenaan.


"Guru kena memahami apakah pedagogi bersesuaian. Ia perlu ditentukan oleh guru sendiri. Kurikulum perlu dicerakinkan. Contohnya kalau di kelas memerlukan masa (PnP) 40 minit secara fizikal, apabila dalam talian juga mesti 40 minit.


"Jika topik (subjek) tertentu tidak sesuai dilaksanakan secara dalam talian, ia boleh dilakukan secara bersemuka dalam kelas. Guru mesti melihat kaedah ini sebagai pilihan kepada mereka terutama jika sekolah dibuka semula nanti," katanya.


Beliau berkata, pada awal kajian juga mendapati masalah capaian jalur lebar menjadi kekangan utama kepada guru dan murid, namun ia tidak seharusnya menjadi penyebab PnP bentuk baharu ini tidak boleh dilaksana.


Katanya, ketika ini ramai warga pendidik terutama generasi muda yang mahir menggunakan teknologi dan gajet, dengan ada dalam kalangan mereka memiliki akaun YouTube pendidikan sendiri.


"Kita akui ada kawasan mungkin berdepan masalah akses kepada internet jadi di situ masih boleh laksana pedagogi secara bersemuka. Namun di sekolah yang memiliki kelengkapan dan kemampuan mencukupi, ia boleh dilaksana (kaedah baharu PnP yang lain)," katanya.


Beliau berkata, pilihan pedagogi ini secara langsung akan membantu kerajaan mengawal penularan COVID-19 dalam negara terutama selepas sesi persekolahan mula dibuka kelak.


Sementara itu, Aminuddin berkata hasil kajian itu sudah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan sebagai input tetapi belum mendapat maklum balas.


Beliau berkata pihaknya juga masih menunggu maklum balas kementerian untuk menyuarakan secara rasmi pandangan mengenai masalah yang sedang dihadapi guru.


Katanya NUTP juga merancang turun ke seluruh negara untuk memberikan penerangan kepada guru dan pentadbiran sekolah mengenai kaedah dan proses PnP itu yang boleh disesuaikan mengikut lokaliti.


Dalam pada itu, katanya, bagi menjayakan matlamat itu, syarikat telekomunikasi perlu bekerjasama dalam memastikan kumpulan pendidik dan pelajar mendapat akses data internet yang mencukupi.


NUTP berharap hasil kajian itu akan membantu guru menentukan kaedah PnP terbaik pasca COVID-19 dengan kebiasaan baharu dalam sesi persekolahan.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.