Afif akui ada desakan lepas jawatan Exco Pulau Pinang



GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin mengakui beliau menerima desakan agar melepaskan jawatan Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang.

 Keputusan melepaskan jawatan tersebut yang dipegang sejak tujuh tahun lalu diambil selepas perbincangan dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Rabu.


Menurut Afif, beliau memahami situasi dihadapi Ketua Menteri susulan perkembangan politik di peringkat Pusat dan telah menjelaskan pendiriannya terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Pulau Pinang selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu. "Saya memerhati sejak beberapa hari yang lepas sehingga pada pagi ini saya percaya memang ada desakan daripada parti baik di peringkat Negeri dan Pusat supaya kedudukan saya ini dikosongkan selaku Exco kerajaan negeri," katanya pada sidang media di rumahnya di Permatang Pauh pada Rabu.


Afif bagaimanapun mengambil pendirian untuk kekal sebagai anggota PKR dan meneruskan tugas sebagai Adun. Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh turut menegaskan tidak menyertai mana-mana parti lain ketika ini walaupun menerima tawaran untuk berbuat demikian. Sebaliknya, beliau beranggapan dirinya masih anggota PKR yang berada dalam pertimbangan Lembaga Disiplin parti dan kepimpinan parti. Keputusan untuk kekal dalam PKR selepas mengambil kira permintaan ahli di peringkat akar umbi yang menggesa beliau kekal dalam parti berkenaan walaupun melepaskan jawatan Exco. "Saya juga telah secara peribadi bertemu dengan Presiden pada Isnin yang lepas dan saya telah menyatakan pandangan saya dan pendirian saya tentang perjuangan yang saya perjuangkan selama ini dan kedudukan saya. "Dalam pertemuan itu saya sendiri telah menyatakan bahawa apa juga tindakan yang ingin diambil oleh parti terhadap saya, saya bersedia menerima kerana pada saya. Saya komited dan terus setia kepada perjuangan bukan kepada individu," katanya lagi. Pada masa sama, beliau mengakui sebagai rakyat, peluang harus diberikan kepada Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan yang bersih, bebas rasuah serta meneruskan Wawasan Kemakmuran Bersama. Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) mengumumkan Dr Afif meletakkan jawatan sebagai Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, berkuatkuasa hari ini. Afif antara penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Beliau antara individu yang diserang penyokong PKR dalam kejadian di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, susulan pergolakan politik dalaman parti itu yang membawa perubahan tampuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan. Februari lalu, Afif menerima surat tunjuk sebab atas dakwaan melakukan sabotaj dengan terbabit dalam kekacauan pada Kongres AMK di Melaka, Disember lalu.


Sumber: Astro Awani

0 views0 comments