Air mata RM3,000



Kuala Lumpur: "Saya menangis ketika sedang menjual di Facebook (FB) Live (siaran langsung) itu kerana terharu apabila ada yang mahu memborong koleksi yang sudah saya simpan lebih empat bulan," kata peniaga bundle Niyan Bakri.


Niyan, 26, memberi reaksi itu selepas video Live di FB miliknya itu tular di media sosial sejak semalam sehingga ditonton lebih 81,000 kali setakat ini.


Niyan berkata, dia tidak menyangka koleksi pakaian terpakai miliknya itu yang tidak dipromosikan dalam Facebook pada jam 1 pagi semalam diborong seorang pembeli dengan harga RM3,000.


"Saya Live tiga jam sehingga 1 pagi semalam dan jualan hanya dua item saja disebabkan itu saya sangat terharu sehingga mengalirkan air mata apabila ada yang ingin memborong koleksi bundle yang disimpan kerana tiada pembeli.


"Malah, koleksi bundle jenama Adidas yang kesemuanya ada 19 item itu tidak dipertontonkan dalam Live, tetapi itu yang terjual," katanya, semalam.


Menurutnya, pembeli yang memborong koleksinya itu juga peniaga pakaian terpakai dan sudah mengikuti perjalanan perniagaannya sejak mula menceburi bidang itu.


"Dulu, saya jual barang bundle koleksi jenama Adidas, tetapi lama-kelamaan hasil jualan tidak laku dan tiada pembeli.


"Oleh itu, saya ambil keputusan mengambil upah bekerja di bawah perniagaan sama dengan ibu saudara, Azryma Naje, 32, yang juga penjaga saya sejak kedua ibu dan bapa meninggal dunia pada 2009 dan 2015.


"Keluarga ibu saudara itulah yang banyak membantu dari segi keperluan makanan serta tempat tinggal memandangkan saya juga tidak mempunyai adik-beradik lain," katanya yang menetap di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, Sabah.


Bercerita lanjut, anak kelahiran Tawau, Sabah itu berkata, dia juga tidak menyangka tangisannya ketika bersiaran langsung di FB miliknya itu tular.


"Sejak ia tular semalam, saya menerima ratusan mesej daripada aplikasi WhatsApp dan ribuan permintaan rakan di Facebook.


"Terima kasih saya ucapkan kepada yang menyokong perniagaan yang saya usahakan sehingga penonton juga meningkat kepada 100 orang ketika Live," katanya yang dulu hanya menerima purata 10 penonton pada setiap penstriman langsung dibuat.


Dia yang juga graduan Diploma Jurusan Elektronik Komunikasi di Politeknik Mukah, Sarawak, berkata, sudah tiga tahun menunggu pekerjaan tetap dalam bidang kemahirannya itu namun belum ada peluang.


"Saya sudah mengisi permohonan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), tetapi belum ada rezeki dan sementara menunggu peluang itu saya banyak melakukan kerja sambilan.


"Disebabkan pandemik Covid-19, saya dan ibu saudara memanfaatkan peluang berniaga secara dalam talian ini memandangkan pekerjaan di luar juga sukar didapati," katanya.


Niyan menceburi perniagaan pakaian terpakai sejak Mei lalu dan menjualnya secara siaran langsung di FB setiap jam 9 malam.


Terdahulu, perkongsian video siaran langsung di FB milik Niyan tular selepas dikongsi akaun FB, Azarinah Binti Awang yang turut gembira dengan rezeki peniaga bundle muda itu.



-- Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.