Akhir zaman: Sehari bagaikan sesaat


PERTUKARAN masa dari siang ke malam, kemudian silih berganti hari demi hari, tahun demi tahun adalah ukuran jarak perjalanan manusia di atas dunia.


Manusia akhir zaman akan merasai kedudukan waktu dan masa yang pantas berlalu sehingga banyak perkara tidak dapat dilaksanakan. Allah SWT berfirman maksudnya: "1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, 3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah al-Asr,  ayat 1-3)


Masa adalah merujuk pelbagai situasi sama ada dalam keadaan senang atau susah, sihat atau sakit, kaya atau miskin, mulia atau hina.

Masa juga merujuk kepada tahun, bulan, minggu, hari, jam, minit dan saat.


Dalam sebuah hadis Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Daripada Abi Hurairah RA: Nabi bersabda: 'Tidak akan berlakunya kiamat sehingga diangkatnya ilmu (ilmu semakin berkurang), banyaknya gempa bumi, masa pantas berlalu, terzahirnya fitnah, banyaknya al-Harj iaitu pembunuhan dan banyak dalam kalangan kamu harta yang melimpah ruah.'" (Hadis  Riwayat al-Bukhari, 1036)


Terdapat beberapa pandangan mengenai maksud "masa pantas berlalu" antaranya kurangnya keberkatan terhadap masa.


Jika pada zaman dahulu, sehari dapat digunakan keseluruhannya untuk kebaikan, tetapi sekarang hanya beberapa minit atau saat.


Ibn Hajar RA berkata: "Ini telah berlalu pada zaman kita. Kita nampak hari-hari berlalu dengan pantas seperti yang belum pernah kita lihat pada zaman sebelum ini."

Masa berlalu pantas juga adalah merujuk kepada perkembangan teknologi dan pengangkutan.


Manusia akan menjadi semakin hampir antara satu sama lain disebabkan kewujudan telekomunikasi dan perkembangan kenderaan pantas seperti kapal terbang dan kereta api laju.


Perjalanan antara satu tempat dengan tempat yang jauh hanya mengambil masa singkat sehingga manusia mampu berulang-alik dalam tempoh yang pendek.


Nabi bersabda yang bermaksudnya: "Daripada Abi Hurairah RA Nabi bersabda: 'Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga masa (zaman) pantas berlalu: Setahun seperti sebulan, sebulan seperti se-Jumaat (seminggu) se-Jumaat seperti sehari dan sehari seperti sesaat. Satu saat yang dimaksudkan adalah nyalaan api yang membakar ranting kering.'" (Hadis  Riwayat Ahmad, 10560)


Semua keadaan yang berlaku adalah merujuk kepada cepatnya masa berlalu dalam erti kata sebenar pada akhir zaman.


Allah akan menjadikan hari-hari sepanjang yang Dia mahu dan sependek yang Dia mahu dengan menggantikan malam dan siang dalam keadaan manusia sedar mengenai perkara itu.


Dalam risalah Risale-i Nur yang dikarang Badi'uzzaman Said al-Nursi, beliau turut mengambil berat mengenai tanda-tanda kiamat yang dinyatakan Rasulullah.


Salah satu hadis Rasulullah yang menakjubkan diulas oleh al-Nursi dalam kalimah ke-24, prinsip kelapan yang berbunyi: Jabir RA mendengar daripada Nawwas ibn Sam'an RA berkata: Wahai Rasulullah, berapa lama Dajjal akan tinggal di muka bumi? Baginda  menjawab,  selama  40  hari,  satu  hari  seperti  satu  tahun,  satu  hari  seperti  satu  bulan,  satu  hari  seperti  seminggu, kemudian bakinya adalah seperti hari-hari biasa kamu semua lalui. (Sahih Muslim 18:66).


Daripada hadis terbabit al-Nursi mengulas antara lain bahawa: Dajjal yang merupakan salah satu tanda  kiamat  diperjelaskan    Rasulullah bahawa  ia  akan  mengalami  sehari  sama  seperti setahun dan sehari sama seperti sebulan dan sehari adalah seperti seminggu.

Manakala baki harinya sama seperti hari-hari yang kita lalui. Dunia mendengar suaranya dan dia mengelilingi bumi selama 40 hari. (Al-Nursi 2013:354)


Oleh demikian, saat dan waktu akan terus berlalu tanpa menghiraukan apa yang dilakukan manusia.


Masa yang berlalu tidak akan kembali. Oleh itu, manusia perlu sedar bahawa kehidupan ini tamat tidak lama lagi dan perhimpunan besar di hadapan Allah adalah pasti.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments