'Ambil sekadar perlu, beri jika mampu'



Port Dickson: Ambil sekadar perlu, beri jika mampu. Tulisan pada sekeping kad di satu sudut menempatkan pelbagai barangan keperluan harian itu menarik perhatian pengunjung kedai menjual pakaian, topi, beg dan vape di PD Sunggala Gateway, Batu 6, di sini.


Pemilik premis Nagon Vapparel, Raja Azlan Raja Mahmud, 36, berkata idea membuat 'Food Bank' itu diilhamkan isterinya, Irsyaida Azwin Mohd Ikhak, 35, bagi membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ketika ini.


"Sebenarnya projek Food Bank ini dilakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu dan terhenti sementara selepas keadaan pulih ketika itu.


"Apabila melihat keadaan ekonomi semakin teruk dan ramai terjejas, hilang pekerjaan serta pendapatan, kami memulakan semula projek ini dan membuat satu sudut di dalam premis khusus untuk mereka yang memerlukan.


"Asnaf atau sesiapa sahaja yang rasa memerlukan bantuan barangan makanan harian boleh datang dan ambil apa sahaja kerana ia khusus untuk mereka," katanya.


Beliau berkata, sebahagian barangan itu disumbangkan rakan dan individu yang meletakkan di situ sebagai sedekah jariah mereka.


Menurutnya, dia menyediakan ruang khas di dalam kedai bagi mengelakkan barangan itu rosak sekiranya diletakkan di luar premis.


"Datang dan ambillah seberapa banyak anda perlukan, plastik turut disediakan. Janganlah malu jika anda memang perlukan barangan makanan itu.


"Saya amat mengalu-alukan orang ramai yang mahu bersedekah dengan meletakan barangan makanan harian di sini.


"Saya lebih suka mereka beli barang dan letak di sini berbanding mereka berikan wang kerana bimbang bercampur dengan duit perniagaan berikutan saya mempunyai dua lagi kedai vape," katanya.


Antara barangan disediakan termasuk beras, tepung, gula, minyak masak, lampin pakai buang, sardin dan barang makanan lain.



Sumber: Harian Metro

1 view0 comments