Anak gajah mati dilanggar



KOTA TINGGI: Seekor anak gajah jantan yang dipercayai berusia antara satu hingga dua tahun mati dilanggar kereta di Batu 19 Jalan Kota Tinggi-Mersing, awal pagi tadi.


Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban, berkata anak gajah dengan berat sekitar 300 kilogram itu dipercayai sebahagian daripada kumpulan beberapa ekor gajah yang dilihat masih berada di sekitar kawasan kejadian.


"Susulan aduan, satu pasukan petugas PERHILITAN dihantar ke lokasi dan ketika pemantauan, beberapa ekor gajah dari Kumpulan Gajah Panti masih berada di sekitar kawasan itu.


"Siasatan awal mendapati, anak gajah itu dilanggar kereta dipandu seorang lelaki yang dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Mersing," katanya.


Salman berkata, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami kecederaan namun lokasi kejadian adalah kawasan yang diketahui sebagai lokasi gajah melintas iaitu Batu 4 hingga Batu 14, Jalan Kota Tinggi Mersing.


"Sebelum ini tahun lalu, seekor gajah juga mati dilanggar di Batu 13 dan seekor lagi pada Mei 2018," katanya.


Sebelum ini, sebuah video berdurasi 42 saat tular di media sosial yang memaparkan seekor gajah dewasa cuba membangunkan anaknya yang mati dilanggar kereta di lokasi berkenaan.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.