Anak muda Sarawak tubuh gerakan Neo Reformis

Neo Reformis ialah sebuah entiti Gerakan Anak Muda Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang terdiri daripada komponen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).


Pada asalnya gerakan ini hanya tertumpu kepada pemuda dan pemudi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dari beberapa tempat seperti Kuching dan Asajaya, Sarawak.

Pasukan ini dilatih sebagai jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.


Namun, hasil cetusan idea anak muda PH sendiri yang mahukan gerakan ini tidak hanya melibatkan ahli PKR Sarawak, maka penyertaan keahlian adalah dibuka kepada mana-mana anak muda dari DAP dan AMANAH di negeri ini.


Keterlibatan belia daripada komponen tiga parti ini akan dapat menggembleng tenaga dan usaha dalam membangunkan sebuah entiti yang mantap bagi menghadapi PRU15 dan PRN12 akan datang.


Gerakan Anak Muda PH Sarawak atau Neo Reformist berperanan mengembalikan budaya demokrasi yang berpaksikan keadilan, progresif dan reformasi serta menentang segala kebobrokan kezaliman seperti rasuah, kleptokrasi, kronisma, dan nepotisma.

Misi utama dalam menguatkan gerakan Neo Reformist Sarawak adalah melahirkan anak muda yang matang serta berprofesional dalam setiap tindakan dan pemikiran untuk membawa Sarawak ke arah lebih maju.


Tujuannya ialah membudayakan sifat perpaduan tidak kira kaum dan agama berlandaskan prinsip merakyatkan rakyat.


Gerakan ini masih dalam perbincangan mengenai pembentukan organisasi, keahlian, kewangan dan sebagainya untuk melengkapkan sebagai sebuah gerakan bebas anak muda Pakatan Harapan sebelum dibawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk didaftarkan secara rasmi nanti.


Justeru, gerakan ini menjemput agar lebih ramai anak muda Sarawak melibatkan diri secara aktif dalam politik sekali gus turun padang menjalankan program membantu rakyat di serata tempat melalui program yang akan dilaksanakan kelak.



Sumber: Malaysia Dateline

2 views0 comments