Anak syarikat Genting berdepan masalah hutang



KUALA LUMPUR: Saham Genting Bhd menjunam hari ini, menambah tekanan kepada Tan Sri Lim Kok Thay untuk memulihkan unit kapal persiaran kumpulan yang hutangnya menyebabkan keyakinan pelabur terhadap konglomerat itu terjejas.


Saham syarikat itu susut setinggi 4.5 peratus dalam dagangan hari ini, penurunan terbesarnya dalam tempoh lebih daripada dua bulan.


Pasaran saham tempatan ditutup sempena cuti umum pada Khamis, apabila saham pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong Ltd menjunam sehingga 38 peratus, selepas syarikat yang disenaraikan di Hong Kong itu mengumumkan ia akan menggantung semua pembayaran kepada penyedia pinjaman.


Konglomerat hospitaliti, perjudian, sawit dan tenaga itu melaksanakan pemotongan gaji serta pengurangan pekerja apabila pandemik coronavirus menjejaskan permintaan bagi kapal pelayaran, manakala sekatan seluruh negara menghalang operasi kasino serta resort.


Firma kapal pelayaran Hong Kong itu dikaitkan dengan Genting melalui pengerusinya, Kok Thay, yang memiliki 69 peratus saham anak syarikat berkenaan setakat 3 April lalu.


"Kemungkinan unit lain diminta untuk membantu Genting Hong Kong adalah rendah kerana setiap entiti yang disenaraikan dikawal selia dengan rapat oleh pengawal selia masing-masing," kata ketua penyelidik Nomura Malaysia, Tushar Mohata.


Pelabur bimbang kesan ke atas syarikat lain di bawah kumpulan itu akan kekal kerana pandemik COVID-19, di samping sejarah urus niaga pihak berkaitan dalam kumpulan, katanya.


Dalam industri yang terkesan oleh sekatan perjalanan di seluruh dunia, Genting Hong Kong mengendalikan barisan kapal Star Cruises, Dream Cruises dan Crystal Cruises.


Februari lalu, penumpang kapalnya, World Dream, dikuarantin di Hong selepas kes positif coronavirus dikesan.


Genting Hong Kong berkata, ia akan menggunakan dana yang ada untuk mengekalkan perkhidmatan kritikal bagi operasi syarikat itu dan meminta penyedia pinjaman menubuhkan jawatankuasa pemandu untuk menilai cadangan penstrukturan semula.


Syarikat itu berhutang sehingga AS$3.4 bilion (RM14.2 bilion) setakat 31 Julai lalu, katanya dalam satu kenyataan.


UOB Kay Hian menjangkakan Genting Hong Kong mencapai persefahaman pragmatik bersama penyedia pinjaman dan mendapatkan pinjaman tambahan bagi membolehkannya beroperasi sementara, kata penganalisis, Vincent Khoo dan Jack Goh dalam satu nota.


Pengendali kapal persiaran itu akan dapat menerbitkan hutang atau ekuiti baharu pada kos faedah yang tinggi atau diskaun yang signifikan, kata mereka.


Hutang bersindiket Genting Hong Kong termasuk pinjaman oleh Maybank, yang sahamnya jatuh setinggi 1.8 peratus dan RHB Bank Bhd, yang susut sehingga 1.6 peratus hari ini.


Genting Malaysia Bhd, yang mengendalikan kasino dan resort di luar Kuala Lumpur pula jatuh setinggi 6.1 peratus.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments