Ancaman dadah, rasuah dalam polis makin ketara - KPN



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berdepan dengan ancaman dadah dan rasuah dalam kalangan anggota yang semakin ketara dilaporkan.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan pembabitan anggota polis dalam rasuah, salah guna kuasa dan dadah seperti api dalam sekam.


"Rungutan orang ramai terhadap isu ini memang ada asasnya dan tidak boleh dinafikan. Seperti peristiwa Perang Uhud, selepas menang seketika, berlakulah perebutan harta perang. Begitulah kesimpulannya yang berlaku di sini (dalam pasukan polis).


"Sebahagian warga PDRM semakin lupa terhadap pengorbanan pejuang lama yang berjaya mewujudkan keamanan menewaskan Parti Komunis Malaya (PKM), keringat dan darah ditumpahkan mereka itu jadi sia-sia belaka.


"Kegiatan persekongkolan dengan elemen judi, dadah, pelacuran dan sindiket penyeludupan kontraban serta manusia dijadikan sumber pendapatan sampingan, begitu juga kes pemerasan ke atas orang awam dan warga asing yang mencacatkan imej pasukan," katanya kepada BERNAMA sempena wawancara sambutan Hari Kebangsaan 2020.


Abdul Hamid bagaimanapun, tetap optimis di sebalik imej negatif terpalit terhadap pasukannya, 80 peratus anggotanya masih bermotivasi tinggi untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.


Jelasnya, amalan budaya kerja baharu dilaksanakan seperti tiada lagi majlis dan aktiviti riadah berbentuk mewah serta santai, sebaliknya kini anggotanya lebih memperkasakan dasar, tindakan dan arahan yang jelas menekankan nilai mulia.


Katanya lagi, pembersihan 'dalaman' yang dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) banyak membuahkan hasil hingga ada anggota terbabit dengan jenayah ditahan, didakwa dan sebahagian besar dikenakan tindakan disiplin.


"Serentak itu, semakin banyak kes cubaan merasuah anggota di bawah (di lokasi) oleh sindiket dadah, judi, maksiat dan penyeludupan berjaya dipatahkan anggota berintegriti tinggi.


"Saya berasa amat bersyukur dan bangga atas kegigihan pegawai ini dan sudah pasti mereka diberikan ganjaran setimpal. Saya akan terus berusaha meningkatkan imej baik pasukan.


"Sebagai agensi utama penguat kuasa undang-undang di negara ini, PDRM perlu berusaha meraih penghormatan daripada setiap rakyat yang perlu mendapat perlindungan dan pembelaan sementara penjenayah wajar dikenakan tindakan undang-undang," katanya.


Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, rakyat Malaysia perlu terus mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain kerana ia kunci utama dalam memastikan keamanan serta kedaulatan negara terus berkekalan.


Abdul Hamid berkata, peristiwa darurat dan ancaman komunis perlu dijadikan pedoman serta iktibar oleh setiap lapisan masyarakat terutama anggota polis kerana ia bukti jelas keamanan negara sekarang tidak mudah diperoleh.


Beliau berkata, dalam usaha menyelamatkan negara daripada ancaman terutama komunis, ramai anggota terkorban dan terpaksa hidup dalam keadaan cacat sepanjang hayat.


"Selepas darurat pertama 1948 hingga 1960, saban tahun polis terus memperkasakan diri untuk mendepani cabaran kebangkitan komunis tanpa bantuan kuasa asing hingga kemenangan muktamad dicapai pada 1989.


"Kini, selepas kita berjaya mengharungi semua itu, rakyat dilihat seolah-olah leka dan melupakan sejarah.


"Percakaran sesama sendiri berlaku atas isu remeh hanya akan menimbulkan keraguan terhadap keupayaan negara untuk terus maju," katanya.


Hari Kebangsaan 2020 yang disambut pada 31 Ogos ini bertemakan 'Malaysia Prihatin'.



– BERNAMA

0 views0 comments

Recent Posts

See All