Apartmen mewah milik Jackie Chan bakal dilelong



HONG KONG: DUA buah apartment mewah milik pelakon aksi terkenal Hong Kong, Jackie Chan dilaporkan bakal dilelong susulan isu perselisihan hak milik.


Menurut agensi berita tempatan Qingliu Studio pada Jumaat, hartanah itu kini diletakkan dalam laman web lelongan di negara itu.


Kedua-dua buah rumah yang terletak di pusat bandar Dongcheng itu dikhabarkan akan dibuka untuk bidaan dengan nilai permulaan 71.9 juta yuan (kira-kira RM43 juta).


Difahamkan hartanah itu pernah menjadi tempat tinggal buat keluarga pelakon aksi itu sejak 2007.


Ia merupakan unit gabungan berkeluasan 1,217 meter persegi dengan enam bilik tidur serta tiga ruang tamu yang dianggarkan bernilai 100 juta yuan (kira-kira RM60.8 juta).


Menurut laman itu, sesi lelongan itu akan bermula pada 28 September ini dengan lebih 600 pengguna berdaftar telah menunjukkan minat ke atas unit itu sejak petang Ahad.


Difahamkan, hartanah itu dijual kepada Chan pada akhir tahun 2007 oleh syarikat pemaju Beijing, Yujia Real Estate dengan harga sekitar 33.6 juta yuan (US$4.9 juta), di atas kerja-kerja promosi yang dijalankan Chan dengan syarikat itu.


Bagaimanapun, setelah Chan dan keluarganya tinggal di situ lebih sedekad, syarikat berkenaan tidak memberikan sebarang kertas hitam putih untuk memindahkan hak milik rumah berkenaan kepada Chan.


Malah, difahamkan, sebuah lagi syarikat pemaju hartanah Beijing, Tenhong Real Estate Group, juga mengemukakan tuntutan timbang tara terhadap Yujia Real Estate berhubung pertikaian hutang dan mahkamah memerintahkan kesemua aset syarikat itu disita, termasuk dua rumah yang dibeli oleh Chan, jelas laporan itu.


Chan terkenal di dalam dan luar negara sebagai pelakon aksi dan penyanyi namun baru-baru ini beliau mendapat kritikan dan kecaman di Hong Kong berikutan pandangan politiknya.


Tambah laporan itu lagi, pihak berkuasa China dan syarikat pemaju bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu lelongan itu.


Dalam pada itu, lapor beberapa agensi berita tempatan China juga, rumah berkenaan merupakan rumah yang sama yang dikaitkan dengan kes jenayah melibatkan anak lelaki pelakon itu Jaycee Chan berkaitan kes penyalahgunaan dadah jenis ganja.


Pada Ogos 2014, Jaycee Chan yang lebih dikenali sebagai Jaycee Fong Cho-ming ditahan bersama pelakon Taiwan Ko Chen-tung atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan kes itu merupakan kes berprofil tinggi kerana melibatkan jenayah dadah terbesar di negara itu.



Sumber: Astro Awani

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.