Asal tauke untung



Kuala Lumpur: Tamak dan tidak berperikemanusiaan. Itulah gambaran yang boleh diberikan terhadap sikap segelintir majikan berstatus jutawan di negara ini kerana tergamak mengabaikan kebajikan pekerja mereka terutama warga asing yang dilayan umpama hamba abdi.


Mereka bukan sahaja 'kedekut' malah sanggup membiarkan pekerja tinggal dalam penginapan sesak, kotor selain aspek keselamatan turut diabaikan.


Lebih mengejutkan majikan terbabit turut bersikap lepas tangan dengan membiarkan golongan itu tidur dalam penginapan usang dan kotor yang tidak layak diduduki manusia.


Itu senario yang berlaku dalam negara kita dan tidak mustahil, penularan kluster Covid-19 di tempat kerja yang meningkat sebelum ini salah satunya berpunca daripada situasi daif dialami golongan pekerja ini.


Mendedahkan realiti itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Mohd Asri Abdul Wahab berkata, sejak Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019 dikuatkuasakan pada September lalu, pihaknya mengesan 59 daripada 3,452 majikan yang diperiksa ingkar peraturan itu.


Katanya, antara kesalahan dilakukan majikan adalah tidak menyediakan bangunan penginapan sesuai didiami mengikut perundangan pihak berkuasa tempatan (PBT), gagal mematuhi piawaian saiz atau nisbah tempat tinggal dengan pekerja, tiada kemudahan asas selain tiada sijil perakuan penginapan.


"Kalau hendak cerita penularan Covid-19 ini memang berkait rapat dengan kesesakan, kotor dan aspek keselamatan diabaikan.


"Ada kita jumpa pekerja tidur bergelimpangan, tak pakai tilam dan bersesak satu rumah sampai ke ruang dapur penuh selain tiada pengedaran udara.


"Kadangkala dalam bilik ada tong gas, periuk belanga, beras, gula dan bawang.


"Paling mengejutkan dan membuatkan saya tersentuh hati ketika turun menyertai operasi Akta 446 ini, ada juga majikan tergamak biarkan pekerja asing tinggal di tempat yang penuh dengan besi buruk dan serba daif.


"Dalam kes ini, kita arahkan majikan memindahkan serta-merta pekerjanya kerana penginapan itu tidak layak diduduki manusia," katanya.


Katanya, Akta 446 yang diperkasakan lagi di bawah Ordinan Darurat pada Februari lalu bertujuan memastikan majikan dan penyedia penginapan berpusat menyediakan segala keperluan asas pekerja mereka mengikut piawaian dan peraturan ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.


"Misalnya ruang tidur untuk rumah berkonsepkan apartmen, rumah pangsa dan teres ialah 3.6 meter persegi untuk seorang pekerja manakala dormitori pula tiga meter persegi, begitu juga bilik air ada nisbahnya.


"Manakala bagi ruang makan, rehat dan dapur boleh dikongsi dengan pekerja lain, tetapi tidak boleh dijadikan tempat tidur.


"Selain itu, majikan perlu menyediakan katil, bantal, selimut dan tilam serta almari berkunci untuk setiap pekerja mereka," katanya.


Katanya, Akta 446 juga memperuntukkan keperluan majikan dan penyedia penginapan berpusat di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan memohon perakuan penginapan daripada JTKSM.


"Daripada 75,000 majikan dan penyedia penginapan berpusat yang menggaji 1.4 juta pekerja asing di negara ini, yang memohon perakuan penginapan masih terlalu rendah iaitu kurang daripada 10 peratus.


"Sejak 1 September hingga 7 Mac lalu, jumlah permohonan yang diterima hanya 5,729 dengan pecahan 5,467 permohonan dari majikan dan 262 lagi dari penyedia penginapan berpusat.


"Oleh itu, kami menyeru majikan dan penyedia penginapan berpusat supaya memohon perakuan penginapan di pejabat JTKSM berhampiran supaya mereka diberikan garis panduan dan piawaian ditetapkan dalam aspek menjaga kebajikan dan menyediakan keperluan pekerja mereka," katanya.


Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan pada satu sidang media baru-baru ini berkata, seramai 59 majikan bakal didakwa di mahkamah di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019, bulan ini, susulan 124 kertas siasatan yang dibuka.


Katanya, antara pertuduhan bakal dikenakan adalah mengikut Seksyen 24D, Seksyen 24H, Seksyen 24J, dan Peraturan 3 dan Peraturan 4 di bawah Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.


Menurutnya, pertuduhan bagi Seksyen 24D adalah ketiadaan perakuan penginapan dan Seksyen 24J pula gagal menyediakan penginapan berasingan untuk pekerja berlainan jantina.



Terpaksa tinggal dengan lelaki lain


Kuala Lumpur: Disebabkan terdesak, dua pasangan suami isteri warga asing sanggup tinggal bersama seorang lelaki bujang di dalam satu kabin kontena yang sempit.


Malah, lima individu terbabit yang ditemui hasil operasi Task Force Penguatkuasaan Penginapan Kebangsaan di sebuah tapak projek dekat Sepang, Selangor, baru-baru ini, seolah-olah tidak kisah berkongsi ruang penginapan yang sama walaupun tiada ikatan kekeluargaan di antara mereka.


Lebih membimbangkan apabila keadaan itu berlaku ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19 dan ia dikhuatiri mencetuskan kluster di tempat kerja.


Ketua Operasi merangkap Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor Mohd Rashdan Abd Rahman berkata, pemeriksaan dijalankan ketika itu membabitkan 210 kabin kontena didiami pekerja warga asing.


Katanya, pelbagai kesalahan dan perlanggaran peraturan dikenal pasti hasil operasi dijalankan itu namun penemuan pasangan suami isteri dan lelaki bujang itu antara yang mengejutkan.


"Ketika pemeriksaan dijalankan, mereka berlima sedang makan bersama dan hasil soal siasat mendapati lelaki bujang yang tinggal bersama adalah adik ipar kepada salah satu pasangan.


"Tiada katil disediakan di dalam kabin itu sebaliknya mereka berlima hanya tidur di atas lantai.


"Mereka berkongsi ruang tidur yang sempit dan sebenarnya boleh memuatkan empat orang sahaja di dalam kabin," katanya.


Menurutnya, percampuran lelaki dan perempuan dalam satu kabin adalah satu kesalahan terutama jika yang menginap di dalamnya bukan pekerja di bawah seliaan syarikat terbabit.


Katanya, kesalahan lain dikenal pasti dalam operasi itu adalah kegagalan majikan memohon kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membina penginapan di tapak projek dan penemuan peralatan larangan dalam kabin seperti peti ais dan periuk nasi.


"Mengikut peraturan, peralatan itu tidak dibenarkan berada di dalam asrama atau tempat penginapan warga asing demi keselamatan mereka.


"Namun, peraturan itu nampaknya tidak diendahkan malah sambungan wayar yang membekalkan tenaga elektrik juga kelihatan berselirat.


"Jika dibiarkan, ia boleh membahayakan penghuni dan mengundang risiko litar pintas hingga mengakibatkan kebakaran," katanya.


Dalam operasi berasingan di Bukit Changkat, Sungai Chua, Kajang, Selangor pada 12 Mac lalu mendapati majikan belum membuat permohonan perakuan dengan JTK bagi penginapan asrama yang disediakan di dalam kilang.


Malah, asrama disediakan itu juga dibina tanpa kebenaran daripada PBT dan kedudukannya terlalu hampir dengan kilang.


Mohd Rashdan berkata, pihaknya memberi amaran keras dengan tempoh 14 hari untuk majikan mengambil tindakan termasuk membuat permohonan perakuan penginapan kepada JTK.


"Selepas tempoh berkenaan, pegawai dan penguat kuasa akan datang semula ke premis bagi menjalankan pemeriksaan," katanya.



Terima 100 aduan pekerja teraniaya sebulan


Kuala Lumpur: Seorang aktivis yang memperjuangkan hak asasi pekerja asing di Malaysia mendedahkan beliau menerima kira-kira 100 aduan sebulan berkaitan isu penganiayaan majikan terhadap pekerja.


Andy Hall berkata, aduan itu diterimanya menerusi pekerja asing yang bekerja dari pelbagai sektor di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.


Katanya, maklumat diterima itu disalurkan terus kepada kerajaan Malaysia menerusi agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan di dalam serta luar negara untuk tindakan lanjut.


"Memang banyak aduan diterima setiap hari daripada pekerja asing termasuk yang bekerja di pelbagai kilang di Malaysia mengenai layanan buruk majikan terhadap mereka.


"Antaranya berkaitan masalah di tempat tinggal seperti ketiadaan bekalan api, air dan isu tidak menerima gaji daripada majikan.


"Masalah itu amat menyedihkan kerana ia mencabuli hak pekerja asing namun setiap aduan perlu dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk disiasat kebenarannya sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia Datuk Halim Ishak berkata, data penyelidikan pihaknya di tempat tumpuan pekerja asing di Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang selama lima tahun mendapati memang ramai majikan ingkar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019.


"Apa yang kita boleh rumuskan, majikan di sektor perkhidmatan mendominasi paling banyak tidak mematuhi Akta 446 dengan anggaran 70 peratus diikuti sektor pembinaan sebanyak 50 peratus.


"Selain itu, sektor peladangan dan perkilangan masing-masing 30 dan 40 peratus," katanya.


Menurutnya, penguatkuasaan Akta 446 perlu lebih tegas dan dipinda kepada denda yang lebih tinggi kepada majikan yang ingkar sebagai pengajaran kepada mereka.


"Kena ingat, pekerja asing ini duta kecil negara mereka, jika mereka melalui pengalaman teruk seperti ini di Malaysia sudah tentu ia menjejaskan imej kita terutama dari sudut hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.


"Kerajaan sudah mengambil kira keperluan dan kebajikan pekerja asing dengan wujudkan akta khusus ini, namun ia dirosakkan dengan sikap majikan yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata hingga sanggup mengabaikan kebajikan pekerja mereka.


"Justeru, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia perlu lebih proaktif turun padang dan tegas ambil tindakan," katanya.



--Sumber: Harian Metro

4 views0 comments