Bayern lolos ke final Piala Jerman



MUNICH: Bayern Munich meneruskan misi kejuaraan berganda selepas pendahulu Bundesliga itu mengatasi Eintracht Frankfurt 2-1 pada separuh akhir Piala Jerman.


Jaringan awal Bayern menerusi Ivan Perisic diimbangi gol babak kedua oleh Danny da Costa, yang baru dimasukkan tiga minit dalam aksi di Allianz Arena itu.


Bagaimanapun Robert Lewandowski memastikan kemenangan 16 minit sebelum tamat permainan apabila meledak gol ke-45 dirinya dalam semua pertandingan musim ini.


Bayern akan berdepan Bayer Leverkusen, yang menewaskan kelab divisyen empat Saarbruecken 3-0 pada Selasa, pada final di Stadium Olimpik Berlin 4 Julai nanti.


"Kami jarang membuat keputusan tepat dalam kawasan itu, kami sepatutnya mendahului tiga atau empat gol di babak pertama, yang menjadikan laluan kami lebih mudah.


"Anda dapat rasakan keletihan kedua-dua pasukan di penghujung babak kedua, keazaman tetap ada dan kami bertahan dengan baik, terutama hantaran-hantaran jauh," kata Thomas Mueller yang mengumpan bola untuk gol pembukaan Perisic.


Bayern kendalian Hansi Flick, yang mendahului liga dengan kelebihan tujuh mata ketika hanya empat perlawanan berbaki, mampu mengesahkan kejuaraan kelapan berturut-turut Bundesliga hujung minggu ini jika mereka menewaskan Borussia Moenchengladbach dan pesaing terdekat Borussia Dortmund tewas di Fortuna Duesseldorf.


Bagaimanapun Bayern akan kehilangan Lewandowski dan Mueller, - kedua-duanya digantung satu perlawanan. - AFP



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments