Bekas CEO Petronas sertai DRB-Hicom



KUALA LUMPUR: Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas DRB-Hicom Bhd.


DRB Hicom dalam makluman kepada Bursa Malaysia bertarikh 30 Julai 2020, Wan Zulkiflee telah dilantik mengisi jawatan berkenaan berkuat kuasa 1 Ogos lalu.


Wan Zulkiflee, 60, yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd. dan Malaysia Aviation Group Bhd. sejak 1 Julai lalu memulakan karier bersama Petronas pada 1983 sebagai jurutera proses.


Beliau yang berpengalaman luas sepanjang lebih tiga dekad dalam bidang minyak dan gas mula memegang jawatan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Petronas pada 1 April 2015 sebelum meletakkan jawatan Jun lalu.


Sepanjang lebih tiga puluh tahun dalam industri, Wan Zulkiflee juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Berhad bermula 2003 hingga 2007.


Beliau kemudiannya memegang jawatan Naib Presiden Perniagaan Gas Petronas pada 2006 hingga 2010 dan dalam masa yang sama turut dilantik sebagai Pengerusi Petronas Gas Berhad bermula 2008 sehingga 2010.



– Sumber: UTUSAN ONLINE

1 view0 comments