Bekas pesakit Covid-19 mudah dijangkiti kuman


KURANG tahap antibodi, ketahanan tubuh atau imuniti terhadap jangkitan kuman.

Itu komplikasi yang dikesan terhadap beberapa pesakit Covid-19 yang sudah pulih apabila dikesan mudah dijangkiti pelbagai kuman.


Mendedahkan kajian terhadap beberapa bekas Covid-19 yang pulih, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, komplikasi itu dikesan berlaku dalam tempoh selepas tiga bulan mereka disahkan pulih.


"Kita kesan ada satu lagi komplikasi terhadap mereka yang sudah pulih, iaitu imuniti atau ketahanan tubuh mereka tidak kekal.


"Kita dapati selepas tiga bulan, antibodi Immunoglobulin M (IgM) dan Immunoglobulin G (IgG) akan berkurangan. Jadi, Covid-19 mungkin ada kesan pada imuniti individu yang dijangkiti.


"Kalau individu yang sembuh ini ada imuniti yang rendah, mereka akan mudah mendapat jangkitan kuman, bukan hanya Covid-19, tetapi kuman lain," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, beberapa komplikasi turut dikesan terhadap pesakit Covid-19, khususnya kategori lima, seperti kemungkinan paru-paru rosak akibat keradangan.


Selain itu, katanya, komplikasi turut berlaku apabila berlaku pembekuan darah dalam salur darah yang boleh menyebabkan angin ahmar, sakit jantung serta masalah usus dan buah pinggang.


"Untuk rawatan, kita cuba cegah radang paru-paru dengan pelbagai ubat. Sekarang kita sudah kenal pasti ubat dexamethasone yang berkesan jika digunakan pada peringkat awal bagi pesakit kategori empat dan lima.


"Bagi mengelakkan pembekuan darah, kita beri ubat 'low moleuclar weight heparin' dan sebagainya untuk mengawal darah daripada beku," katanya.


Menurutnya, KKM menerusi Institut Perubatan Respiratori sedang menjalankan kajian bagi meneliti kesan jangka panjang pesakit kategori lima, iaitu mereka yang pernah diberi bantuan pernafasan.


"Sekarang ini, kita juga kena pastikan rawatan susulan untuk pantau kesihatan pesakit yang sudah pulih, terutama kategori empat dan lima dan kita sedang dalam proses melihat kesan sampingan jangka panjang," katanya.



Sumber: Harian Metro

1 view0 comments