Belanja kad kredit ibu RM64,816 beli 'game' dalam talian



Connecticut: Kanak-kanak berusia enam tahun di Amerika Syarikat (AS), membelanjakan kad kredit ibunya lebih AS$16,000 (RM64,816) untuk membeli permainan video dalam talian.


Ibunya, Jessica Johnson berkata, anak lelakinya George dikenakan caj berjumlah AS$16,293.10 (RM66,003.35) ketika bermain Sonic Force di Apple App Store.


Katanya, kejadian itu disedarinya selepas melihat caj sama AS$106.3 (RM430.78) tertera beberapa kali pada penyata banknya selain beberapa caj lain dengan jumlah keseluruhan AS$853.16 (RM3,456.15).


"Saya menghubungi pihak bank mengenai transaksi mencurigakan itu sebelum mereka memberitahu saya perlu menyelesaikan kes itu dengan pihak Apple.


"Saya bernasib baik kerana Apple akhirnya bersetuju untuk memulangkan sebahagian wang AS$10,553.86 (RM42,753.69) kepada saya," katanya.


Menurutnya, akaun Paypal miliknya disambung terus kepada iPad mengakibatkan kejadian itu berlaku.


"Tetapan pada iPad saya mungkin ditetapkan untuk memasukkan kata laluan sekali saja hingga kad kredit saya dapat dicaj terus ketika anak membuat pembelian pemainan video.


"Saya sendiri tidak sedar keadaan itu membolehkan anak saya terus membuat pembelian tanpa memerlukan kata laluan," katanya kepada Good Morning America.


Johnson dari Wilton berkata, sejak kejadian itu dia membelikan konsol permainan untuk anaknya serta menukar kata laluannya.


"Sebagai ibu bapa, kita harus sentiasa beringat.


"Kejadian itu, memberikan saya pengajaran berguna hingga saya lebih peka dan mempelajari beberapa tetapan untuk keselamatan gajet," katanya.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.