Belanjawan 2021 tumpu empat tema


KUALA LUMPUR: Pendidikan, peluang pekerjaan, perlindungan sosial dan mobiliti sosial akan diberi tumpuan dalam Belanjawan 2021, demikian menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.


Beliau berkata, Belanjawan 2021 akan dirangka merentasi empat tema utama dengan semuanya berpusat kepada pewujudan kerajaan yang lebih baik.


"Tema ini termasuk pedulikan rakyat, memacu ekonomi, kehidupan mampan dan menambahbaik penyampaian perkhidmatan awam," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia 2020, di sini, hari ini.


Tengku Zafrul berkata, tema pertama membabitkan peduli rakyat yang mana matlamat pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) adalah bertujuan melindungi dan memperkasakan rakyat.


"Malah, rakyat Malaysia telah menunjukkan kesungguhan untuk mewujudkan masyarakat lebih baik dan membuktikannya ketika negara mengharungi tempoh yang sukar," katanya.


Tengku Zafrul berkata, usaha seperti #KitaJagaKita menyaksikan rakyat negara ini, baik yang tua dan muda, bersepakat dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat untuk saling membantu rakyat yang memerlukan.


"Usaha itu daripada tindakan mengumpulkan dana untuk petugas barisan hadapan sehinggalah menyediakan makanan untuk kelompok masyarakat yang memerlukan hanya menyerlahkan lagi semangat Malaysia yang bersatu walaupun mewakili pelbagai latar belakang," katanya.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments