Berebut tapak niaga, pasar pagi kecoh



PADAWAN: Gara-gara berebut tapak niaga, suasana di pasar pagi Kota Sentosa di sini, kecoh apabila sekumpulan peniaga bergaduh pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhasan, berkata kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu berlaku selepas pengadu iaitu lelaki berusia 25 tahun dan adiknya yang berusia 15 tahun tidak mahu memberi ruang kepada sekumpulan tiga lagi peniaga untuk berniaga bersebelahan gerainya.


Beliau berkata, sebelum kejadian, suspek iaitu tiga lelaki masing-masing berusia 18, 25 dan 28 tahun mengajak pengadu dan adiknya untuk berbincang mengenai tapak perniagaan itu.


"Bagaimanapun, ketika berbincang, adik pengadu telah meninggikan suara, menyebabkan suspek berusia 18 tahun menamparnya.


"Adik pengadu iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun kemudian bertindak mengambil besi dari lori dan berlaku pergelutan apabila suspek menumbuk serta memukulnya menggunakan bakul plastik," katanya sambil memaklumkan pengadu mengalami luka calar di muka, siku dan jari kaki di sebelah kanan manakala adiknya juga mengalami luka calar di dada.


Aidil berkata, sebelum itu pengadu dan adiknya terlebih dahulu meletakkan bakul sayur-sayuran jualan mereka di tapak berkenaan.


"Tidak lama selepas mereka meletakkan barang jualan, tiga lelaki yang turut menjual sayur di tempat sama meminta dua beradik itu mengalihkan bakul sayur mereka kerana juga mahu berniaga di tapak sama.


"Selepas berbincang, pengadu masih tidak mahu mengalihkan bakul kerana kawasan itu memang digunakannya untuk berniaga sejak tiga tahun lalu menyebabkan pergaduhan tercetus sehingga mencemaskan pengunjung pasar pagi itu," katanya.


Beliau berkata, susulan laporan dibuat pengadu di Balai Polis Kota Sentosa pada jam 8.05 pagi, polis menahan semua peniaga sayur itu termasuk bapa pengadu yang berusia 53 tahun.



"Tiga suspek dan pengadu berserta adik dan bapanya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.


Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.