Berganding bahu harungi cabaran normal baharu


SAYA tertarik dengan tajuk muka depan akhbar ini pada 7 Julai lalu berkaitan nasihat Perdana Menteri kepada penjawat awam dalam Perhimpunan Bulanan di Dataran Perdana, Putrajaya.


Beliau mengingatkan penjawat awam untuk memudahkan, bukan mengecewakan.


Hakikatnya, dalam mendepani cabaran pasca COVID-19, semua pihak perlu sentiasa memudahkan antara satu sama lain.


Kita sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi yang luar biasa.


Kesannya dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan untuk merancakkan semula pembukaan ekonomi negara ini.


Pakej bantuan PRIHATIN dan PENJANA antara contoh inisiatif yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan kuasa pembeli pengguna.


Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) ke tahap terendah dalam sejarah turut menyasarkan tujuan sama.


Situasi ketidaktentuan ini dirasai semua pihak. Baik pelajar di sekolah, anak kecil di Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), penjual pisang goreng mahupun pemilik syarikat terkemuka di ibu kota.


Kita sedang melalui fasa adaptasi daripada kebiasaan yang lama kepada kebiasaan baharu yang kelihatan agak janggal dan rumit untuk dipatuhi.


Jika pelajar dan guru sedang giat mengamalkan pengajaran dan pembelajaran melalui normal baharu, pemilik perniagaan pula giat memerah otak dan keringat untuk merancakkan semula perniagaan yang sepi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.


Selain itu, 2020 juga tahun pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.


Menyahut seruan normal baharu, banci kali ini turut diadakan secara dalam talian. Ia satu kesusahan atau cabaran yang berjaya ditukar kepada kemudahan.


Inisiatif banci dalam talian pastinya memudahkan pengamalan normal baharu, di samping tidak menyekat usaha kerajaan untuk mengumpul data penduduk demi merangka strategi berkesan untuk kepentingan rakyat.


Cabaran ini harus dihadapi kita semua. Ia milik yang tua, muda, kaya dan miskin.


Kita seharusnya berganding bahu dan bergerak sederap bersama dalam era normal baharu ini.


Beri kerjasama dan cadangan kepada pihak berwajib untuk memudahkan kita semua menghadapi fasa mencabar ini.


Hentikan berkongsi berita dan dakyah palsu yang boleh menjejaskan emosi dan ketenteraman awam. Kita jaga kita kerana Malaysia Boleh!




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.