Beri ruang rakyat berniaga, menjaja untuk jana pendapatan



BILANGAN penjaja dijangka meningkat susulan ia pilihan bagi rakyat menjana pendapatan segera susulan pandemik Covid-19.


Perniagaan kecil-kecilan seperti membuka gerai makanan antara pilihan khususnya untuk mereka yang kehilangan kerja sejak lebih tiga bulan lalu.


Justeru, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman menggesa kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi ruang dan kelonggaran kepada rakyat khususnya membabitkan permit dan lesen.


Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, peniaga dan penjaja meningkat khususnya dalam perniagaan makanan kerana ia antara kaedah segera untuk memperolehi pendapatan.

"Tawaran kerja kini semakin menurun, kadar pengangguran pula dijangka meningkat. Jadi berniaga kecil-kecilan ini antara pilihan segera untuk meneruskan hidup.

"Peniaga kecil dan penjaja bukan berniaga untuk kaya tapi hanya meneruskan kelangsungan hidup di bandar dan kota terutamanya Kuala Lumpur.


"Saya berharap kerajaan dapat memberi inisiatif tambahan seperti bantuan segera untuk golongan peniaga memulakan perniagaan manakala PBT memudahkan permohonan lesen atau memberi satu tempoh sesuai untuk meniaga sementara menanti kelulusan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Katanya, ketika ekonomi Malaysia dan dunia terus suram kerana Covid-19, penjanaan pendapatan dengan perniagaan perlu disokong kerajaan bagi menggerakkan semula ekonomi domestik.


Beliau yang juga Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan berkata, usaha golongan yang mahu mula berniaga perlu disokong dan tidak menganggap mereka sebagai musuh sehingga tindakan menyita dan merampas barang perniagaan dilakukan secara drastik.


"Beri mereka ruang kerana ada yang baru berjinak untuk berniaga dan sudah pasti mengambil sedikit masa untuk memenuhi syarat perlesenan ditetapkan PBT.

"Kewujudan peniaga kecil ini dapat mengaktifkan semula ekonomi setempat seterusnya menjadi pilihan terbaik untuk menjana pendapatan segera," katanya.



Sumber: Harian Metro

1 view0 comments