Bersiar waktu malam dengan motosikal



TIGA puluh individu ditahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila menunggang motosikal tanpa alasan munasabah di sekitar Kuantan malam tadi.


Ketua Polis Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya sebelum ini membuat pemantauan dan risikan berhubung aktiviti samseng jalanan yang aktif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB.


Menurutnya, susulan maklumat diterima, pihaknya menggempur beberapa lokasi panas di sekitar bandar Kuantan yang dikenal pasti menjadi tumpuan mat rempit termasuk di Jalan Pintasan Kuantan kawasan Bukit Rangun, Jalan Tanjung Lumpur depan Yayasan Pahang, Jalan Kuantan-Gambang dan Jalan Beserah.


"Dalam operasi bermula 9 malam dan berakhir 6 pagi tadi, kita berjaya menahan 30 individu kerana kesalahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Perkara 15, Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan No 6) 2020.


"Tiga daripada mereka turut melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya dengan melakukan aksi 'wheelie'," katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.


Mohamad Noor berkata, seorang daripada mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1951 kerana positif dadah jenis methamphetamine.


Menurutnya, sebanyak 91 saman dikeluarkan dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan dan 14 motosikal disita kerana melakukan kesalahan mengikut 60 APJ 1987 iaitu mengubahsuai struktur kenderaan yang dimiliki.



Sumber: Harian Metro

2 views0 comments

Recent Posts

See All