Bijak urus kewangan ketika Aidilfitri PKPB



SEMPENA Aidilfitri kali ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengambil inisiatif membangunkan modul pendidikan kewangan dalam talian dikenali sebagai 'Raya Prihatin Maaf Zahir Batin'.


Ketua Cawangan AKPK Kuala Terengganu, Junainah Ahmad Esa berkata, modul itu memberi panduan kepada masyarakat menyambut Aidilfitri dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan penuh rasa syukur dan berhemat.


Beliau berkata, Aidilfitri tahun ini bakal disambut ketika negara masih dalam PKPB, selain tiada bazar Ramadan, tahun ini tiada kunjung mengunjung dan rumah terbuka yang menjadi tradisi masyarakat Malaysia setiap kali Aidilfitri.


"Perubahan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi serta persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini, justeru, AKPK mewujudkan modul pendidikan kewangan dalam talian khas sempena Aidilfitri PKPB.


"Modul ini memberi panduan kepada masyarakat bagaimana untuk menyambut Aidilfitri ketika PKPB dengan penuh rasa syukur dan berhemat.


"Antara topik terdapat dalam modul khas ini adalah konsep bersederhana dalam menyambut perayaan, teknik merangka bajet, tip bijak belanja pada hari raya dan panduan membuat keputusan kewangan lebih bijak serta mencari hikmah di sebalik musibah melanda.


"Modul dalam talian ini boleh diakses secara percuma melalui pautan https://bit.ly/3cYNsT atau laman sesawang power.akpk.org.my," katanya.




Sumber: Harian Metro

3 views0 comments