Buat khianat bayar hutang



SATU sindiket along yang ditumpaskan di negeri ini menawarkan peminjam yang gagal melunaskan bayaran akhir untuk melakukan kerja khianat seperti menyimbah cat merah selain membaling molotov cocktail terhadap kediaman peminjam lain.


Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Polis negeri Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jika ia dapat dilakukan maka mungkin hutang kepada along terbabit sama ada dilupuskan atau dikurangkan.


"Sebahagian besar peminjam sindiket along ini membabitkan kaki judi.


"Jadi mereka akan melakukan apa saja bagi memastikan terselamat daripada cengkaman along termasuk melakukan kerja khianat terhadap kediaman peminjam lain yang gagal lunaskan bayaran," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kereta Peronda Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor semalam.


Untuk rekod, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor membuka 398 kertas siasatan berkaitan pinjaman along sejak awal tahun hingga Ogos lalu.


Ayob Khan berkata, ia merangkumi 118 kes yang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan 280 kes lagi disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.


Terdahulu, menurut Ayob Khan, pihaknya menahan 12 individu yang terbabit dengan sindiket along ini menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Johor Bahru, Batu Pahat, Selangor dan Kuala Lumpur hasil maklumat serta risikan antara 15 hingga 23 Ogos lalu.


"Pada 15 Ogos lalu, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan sembilan lelaki tempatan berusia 23 hingga 36 tahun di beberapa lokasi.


"Ia membabitkan seorang suspek yang ditahan di sebuah apartmen di Bandar Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur. Tujuh lagi suspek ditahan di sebuah rumah kedai di Pusat Perdagangan Danga Utama, Tampoi. Suspek kesembilan ditahan di Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat," katanya.


Menurut beliau, pada 22 Ogos lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, IPK Johor menahan tiga individu berusia 29 hingga 46 tahun di lokasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Skudai dan Johor Jaya.


"Taktik sindiket along ini ialah mensasarkan warga tempatan yang bekerja di Singapura dengan memberi pinjaman secara dalam talian, mangsa tidak berjumpa secara bersemuka dengan along terbabit.


"Jika mangsa gagal melunaskan hutang, along akan mencari alamat tempat tinggal mangsa dan menyimbah atau menconteng rumah mangsa menggunakan cat merah selain membaling molotov cocktail," katanya.


Menurutnya, along turut merantai rumah peminjam yang gagal membayar mengikut masa ditetapkan selain meninggalkan nota berbaur ugutan.


Katanya, hasil siasatan mendapati, sebahagian besar peminjam adalah kaki judi. Sebahagian kecil pula meminjam untuk memulakan perniagaan.


"Hasil semakan telefon dan kad sim yang dibeli secara pukal turut mendapati, nombor digunakan along ini terbabit dengan kes di Selangor, Perak, Kedah, Kuala Lumpur, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sabah," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 435 Kanun Keseksaan, Seksyen 436 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 29B (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments