Bunuh 23 penghuni tahfiz: Remaja dipenjara selama perkenan Agong



KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki dijatuhi hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh 23 mangsa dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara hampir tiga tahun lalu.


Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang kini berusia 19 tahun selepas mendapati pembelaannya gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pembelaan.


Terdahulu pada prosiding yang bermula tepat jam 3 petang, tertuduh yang memakai kemeja-T hitam putih kelihatan tenang dan hanya mendiamkan diri sepanjang prosiding.


Selepas mendengar keterangan semua pihak, mahkamah mendapati penama pertama (remaja itu) dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh, " kata Azman.


Hakim itu berkata, oleh kerana remaja itu masih di bawah umur ketika kejadian, beliau mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 dalam menjatuhkan hukuman itu.


"Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan syarat tahanan dari semasa ke semasa," katanya.


Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja itu dalam mitigasi, berkata anak guamnya memohon maaf kepada semua yang terbabit dan berkata pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap hukuman hari ini.


Pada 28 Januari lalu, Azman mengarahkan remaja itu membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.


Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.


Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.


Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments