Burnley diaib City, peminat sendiri



MANCHESTER: Manchester City membelasah Burnley 5-0 di stadium Etihad bagi membantutkan impian Liverpool menjulang trofi Liga Perdana Inggeris esok.


Bagaimanapun perlawanan City itu dicemari oleh insiden kain rentang yang tertulis "White lives matter Burnley".


Black Lives Matter dicetak di belakang jersi bagi kesemua 12 perlawanan Liga Perdana yang disambung semula.


Pemain-pemain, jurulatih dan pengadil turut berlutut sebelum sepak mula setiap perlawanan sebagai tanda sokongan terhadap kempen berkenaan.


"Saya malu, ada segelintir peminat kami memutuskan untuk menaikkannya (kain rentang) di stadium.


"Mereka ini perlu masuk dalam abad ke-21 dan belajar seperti orang lain. Saya amat kecewa dengan apa yang berlaku," kata kapten Burnley Ben Mee.


Burnley berjanji akan melarang mereka yang terbabit daripada memasukkan stadium Turf Moor seumur hidup.


"Kami memohon maaf kepada Liga Perdana, Manchester City dan mereka yang membantu mempromosikan kempen Black Lives Matter," kata Burnley dalam satu kenyataan.


Phil Foden membuka jaringan untuk City pada minit ke-22 disusuli dua jaringan pantas Riyad Mahrez dua minit sebelum rehat.


David Silva meledak gol keempat City enam minit selepas rehat dan Foden melengkapkan kemenangan dengan jaringan minit ke-63. - AFP





Sumber: Berita Harian

2 views0 comments