Cabaran media bertugas di PRK DUN Chini


APABILA perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini perlu dilaksanakan dengan normal baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19, ia menjadikan tugas pengamal media lebih mencabar.


Jika dahulu, media bersesak-sesak untuk membuat liputan kempen calon adalah perkara biasa, namun pada PRK kali ini, ia mungkin menjadi satu kesalahan jika SOP ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keadaan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tidak dipatuhi.


Dalam mencari bahan berita untuk organisasi masing-masing, kehadiran media yang ramai memungkinkan SOP gagal untuk dipatuhi pada ketika Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) begitu bertegas supaya segala undang-undang dan peraturan berkaitan dipatuhi.


Cabaran pematuhan SOP dihadapi ini memaksa pengamal media yang selama ini tiada masalah berlaga bahu ketika mengadakan temuramah atau mendapatkan sudut gambar foto mahupun rakaman video terbaik, untuk mengubah cara kerja mereka.


Jurufoto Bernama, Faizol Ab Aziz, 39, berkata beliau perlu memastikan jarak sosial dijaga ketika menjalankan tugasnya demi memastikan keselamatan diri dan orang sekeliling termasuk rakan sekerja dan keluarga di rumah terus terpelihara.


"SOP ini perlu dijaga lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui SPR menubuhkan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya yang memantau perjalanan kempen sepanjang PRK.

"Kami sentiasa berhati-hati dengan tidak berada terlalu rapat antara satu sama lain kerana pasukan pemantau yang turut dianggotai polis ini kadangkala turut menegur cara kami bertugas jika mereka mendapati ia berisiko kepada penyebaran Covid-19," katanya di Pekan, hari ini.


Wartawan Malaysia Gazette, Muhammad Azizul Osman, 37, berkata keperluan pematuhan SOP ditetapkan SPR itu menjadikan tugasnya semakin mencabar.


"Adalah perkara biasa bagi pengamal media untuk menemuramah calon ketika kempen PRK, namun kali ini memang berbeza kerana perlu amalkan SOP seperti jarak sosial.

"Untuk sama-sama memastikan SOP ditetapkan dipatuhi saya berpendapat SPR harus ada bersama dengan media di setiap siri kempen bagi memberi nasihat sebelum bermulanya sidang media," katanya.


Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Negeri Pahang Datuk Zamree Hamli berkata, selain bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19, pematuhan SOP bertujuan mengelakkan tular gambar pengamal media tidak menjaga jarak sosial.


"Perkara itu berlaku sebelum ini apabila tular gambar dalam media sosial yang menunjukkan wakil media tidak mematuhi SOP dengan tidak menjaga jarak sosial, menyebabkan ramai mempersoalkan cara media beroperasi semasa penularan wabak ini.


"Pasukan pemantau SPR akan sentiasa berada pada majlis atau lokasi membabitkan calon PRK ini dan bersedia untuk memberi teguran dan nasihat kepada pihak media mengenai pematuhan SOP," katanya.


Pengundian PRK DUN Chini ditetapkan pada 4 Julai ini. Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.




Sumber: Harian Metro

2 views0 comments