Cantik tapi beracun


EMPAT bunga hiasan yang viral iaitu Caladium bicolor, Dieffenbachia spp, Zamiaculcas zamiifolia dan Anthurium spp dikesan beracun dan boleh memberikan kesan sampingan kepada manusia.


Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Jabatan Pertanian Mohd Adli Salihin Samsudin berkata, tanaman berkenaan didapati bertoksik (beracun) pada keseluruhan bahagian kerana memiliki cecair (sap) yang mengandungi bahan kimia serta boleh memudaratkan jika tergigit atau termakan terutama daunnya.


"Namun, orang ramai tidak perlu panik sebaik mengetahui tanaman itu beracun kerana secara semula jadi setiap tanaman ada bahan kimia tersendiri untuk perkembangan kehidupan.


"Tanaman seperti Caladium bicolor, Dieffenbachia spp, Zamiaculcas zamiifolia dan Anthurium spp umpamanya kerap digunakan sebagai pokok hiasan dalaman sama ada di rumah, pejabat dan juga premis perniagaan kerana karakternya yang unik serta berwarna menarik selain vibran.


"Secara tidak langsung dapat menyegarkan suasana ruang kerana tanaman ini mampu membebaskan gas oksigen untuk kita bernafas dan menyerap gas pencemar iaitu gas karbon dioksida dan sebagainya," katanya.


Bagaimanapun, Mohd Adli Salihin turut memperincikan Caladium bicolor, Dieffenbachia spp dan Anthurium spp jika tergigit atau termakan daunnya boleh menyebabkan bibir bengkak.

"Anda yang alahan, jika boleh menyebabkan gatal pada kulit atau kulit melecur.


"Bagi tanaman hiasan Zamiaculcas zamiifolia, kesan sampingannya berbeza jika tersentuh boleh menyebabkan mata pedih dan berair. Jika tergigit atau termakan boleh sakit perut dan muntah," katanya.


Pakar landskap itu tidak menafikan semua tanaman berkenaan berupaya memberikan suasana segar semula jadi pada ruang dalaman sama ada rumah, pejabat atau premis perniagaan.


"Apatah lagi pokok ini membebaskan gas oksigen selain menyerap gas pencemar termasuk karbon dioksida.


"Cuma perlu lebih hati-hati menguruskannya," katanya.

Pada masa sama, Mohd Adli Salihin turut berkongsi langkah pencegahan jika ingin menjadikan empat tanaman itu sebagai hiasan ruang dalaman.


"Basuh tangan hingga bersih dengan konsep 3S (sebelum, semasa dan selepas) menguruskan dengan tanaman ini.


"Pakai pelitup muka, sarung tangan ketika menjalankan aktiviti berkebun.

"Buang atau pangkas daun pokok kering, layu dan mati selain labelkan tanaman berkenaan supaya mudah dikenal pasti," katanya.


Langkah meletakkan tanaman itu jauh dari capaian kanak-kanak antara dicadangkan.

Bagaimanapun, jika ada anak kecil, anda disarankan tidak memilih tanaman ini sebagai penghias ruang.


"Sebaiknya, timba ilmu atau dapatkan nasihat pakar tanaman hiasan terlebih dahulu.

"Segera dapatkan rawatan jika tercedera akibat tanaman hiasan ini," katanya.






Sumber: Harian Metro

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.