Cekal jaga suami lumpuh



Batu Pahat: "Saya terpaksa menebalkan muka meminta bantuan di media sosial kerana perlu mencari wang untuk keperluan suami yang lumpuh," kata Nor Diana Liza Hashim, 36, yang tabah menjaga suaminya, Radin Abu Bakar Abd Rahman, 36.


Menurutnya, Radin lumpuh sejak 2017 dan ketika itu bermula dia menggalas tanggungjawab menyara kehidupan mereka sekeluarga termasuk dua anak lelaki yang berusia 13 dan 11 tahun.


"Gaji saya hanya RM1,500 sebulan sebagai pengawal keselamatan dan ia tidak cukup kerana memerlukan sekurang-kurangnya RM1,700 sebulan untuk keperluan suami bagi membeli lampin pakai buang, susu dan ubat.


"Disebabkan itu, saya terpaksa meminta ihsan daripada orang ramai di media sosial dan terpaksa memekakkan telinga apabila dituduh sebagai penipu dan 'scammer'. Ada yang kata saya ini penipu dan mengemis, saya tak kisah apa orang nak cakap, saya tidak mencuri cuma meminta bantuan seikhlas hati sahaja.


"Jika ada yang mahu bantu, saya bersyukur dan berterima kasih namun jika tidak cukuplah mendoakan dan bukannya memfitnah," katanya ketika ditemui di Taman Sedap Parit Raja dekat sini, hari ini.


Tambah Nor Diana, mengimbas kejadian pada September 2017, dia menerima panggilan telefon daripada suaminya yang mengadu tidak sedap badan ketika memancing ikan di Sungai Lurus, Senggarang.


"Suami minta saya untuk mengambilnya di sana kerana merasa mahu pengsan dan sejak itu keadaan kesihatan suami merosot hingga lumpuh.


"Waktu sihat suami kerja sendiri sebagai pendawai elektrik dan memang tak layak untuk mendapatkan caruman Perkeso kerana pernah mencarum tidak sampai dua tahun," katanya.


Katanya, dia bersyukur kerana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebagai penjaga dan RM300 bagi suaminya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) selain RM300 daripada Baitulmal sejak 2018 hingga kini.


Turut hadir adalah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seri Gading, Haryani Sukarman yang menyampaikan bantuan keperluan susu, lampin pakai buang, ubat-ubatan dan wang tunai kepada Nor Diana.


Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Nor Diana Liza Hashim di 0100641000113150 atau hubungi talian 011-27555380



-Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.