Chong Wei tak ragui kemampuan Zii Jia



KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia memikul tanggungjawab besar apabila mengetuai cabaran skuad negara menghadapi saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober depan.


Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, berkata sebagai perseorangan pertama, Zii Jia, 22, memainkan peranan penting bagi meningkatkan tahap keyakinan dan melonjakkan semangat rakan sepasukan.


"Saya bukan mahu memberi tekanan kepada Zii Jia tetapi ini adalah realiti. Dia juga pastinya sedar dengan perkara ini.

"Bermain dalam kejohanan berpasukan tekanan lebih tinggi berbanding individu kerana sebagai perseorangan pertama dia yang mengetuai pasukan bagi menyumbang mata pertama.

"Namun, saya yakin dengan kemampuan Zii Jia dan pasukan sokongan yang bersamanya.

Jurulatih seperti Hendrawan dan Wong Choong Hann adalah bekas pemain yang berpengalaman luas dan tahu bagaimana rasanya menjadi pemain utama dalam pasukan.

"Mereka pastinya tahu bagaimana untuk membantu Zii Jia.

"Saya juga percaya sekiranya ada pemain senior yang disenaraikan seperti Tan Wee Kiong, ia mampu membantu Zii Jia dan pasukan," katanya selepas Majlis Pelancaran Airsportz Gold Driven di Royal Selangor Visitor Centre di sini, hari ini.

Berdasarkan undian yang dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi, Indonesia, England dan Belanda.

"Persaingan untuk dua tempat teratas kumpulan pastinya terarah kepada Malaysia dan Indonesia. Siapa yang kita mahu jumpa atau elak di pusingan kalah mati, itu akan ditentukan oleh pasukan dan jurulatih.

"Saya yakin kita mampu melepasi peringkat kumpulan," kata Chong Wei yang pencapaian terbaiknya dalam saingan Piala Thomas ketika membantu Malaysia muncul naib juara edisi 2014 di India.

Kali terakhir Malaysia menjuarai saingan Piala Thomas pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments