Cikgu Liew belanja 500 Jalur Gemilang



BAGI menzahirkan semangat cintakan negara menjelang sambutan Hari Kebangsaan, seorang guru sanggup berbelanja RM1,500 untuk memasang 500 Jalur Gemilang.


Ia sekaligus menyemarak sambutan itu dengan 20 pelajar memasang jalur gemilang di sekitar penempatan penduduk Kampung Baru, dekat Gua Musang.


Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 2, Gua Musang, Liew Koon Yan, 51, berkata, usaha itu adalah pertama kali diadakan tahun ini supaya pelajar dan penduduk dapat menghayati secara jelas keamanan negara.


Dia berkata, perkara yang paling penting bagi mendidik pelajar sekolahnya mengenang jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu hingga mencapai kemerdekaan.


"Kita tidak boleh kedekut untuk berbelanja bagi membeli Jalur Gemilang kerana itu adalah bendera kebanggaan seluruh warga negara ini.


"Jangan kita bergantung kepada sumbangan pihak tertentu bagi mendapatkan Jalur Gemilang dan hargailah keamanan negara dengan pengorbanan perbelanjaan," katanya di Gua Musang, hari ini.


Menurut Liew, kibar jalur gemilang itu pastinya menceriakan lagi kawasan penempatan, selain memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar dan penduduk.


Katanya, setiap tahun menjelang sambutan Hari Kebangsaan, pelajar sekolah diajak bagi menghiaskan sekitar kampung dengan jalur gemilang.


"Kita panggil pelajar untuk memasang bendera supaya sejak kecil lagi kita tanam semangat mencintai negara," katanya.


Sementara itu, pelajar tingkatan dua SMK Tengku Indera Petra 2, Shan Shan Etin, 14, berkata, sambutan Hari Kebangsaan tahun cukup bermakna apabila mengambil bahagian kibar Jalur Gemilang.


"Kita adalah orang muda dan perlu ada semangat serta berjiwa kental kibar jalur gemilang itu bagi menunjukan kecintai terhadap tanah air sendiri," katanya.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments