Cipta personaliti tersendiri



MELIHAT seseorang menyarung pakaian atau menbimbit tas berjenama mewah antarabangsa membuatkan ramai yang terikut-ikut menginginkan taraf prestij yang sama.

Namun, wang dalam poket tidaklah setebal mana. Tidak keterlaluan juga ada yang sanggup memakai jenama mewah itu tetapi tidak kena pada tempatnya.


Walaupun matahari terpacak di atas kepala, jangan tidak tahu ada yang rela menyarung baju musim sejuk kerana tertera jenama mewah sebesar alam 'di dada' semata-mata ingin menonjolkan kemampuannya mencipta gaya mewah.


Itu belum lagi untuk sesi bergambar, jika tertinggal tas berjenama mewah di rumah kesesakan lalu lintas sanggup diharungi untuk menonjolkan gaya mewah di hadapan lensa kemera.


Penganalisis fesyen, Profesor Dr Zuhaili Akmal Ismail berkata, sebenarnya orang ramai tidak perlu menjadi mangsa fesyen kerana terikut-ikut dengan gaya golongan kelas atasan yang jika mereka menyarung selipar dari pasar malam orang tetap akan menyangka ia datang dari butik mewah.


Beliau berkata, gaya pemakaian ingin menonjolkan sesuatu jenama itu dilihat sudah ketinggalan dan mampu dilabel sebagai mangsa fesyen kerana konsep 'less is more' adalah hala tuju yang mampu menjadikan seseorang itu tampak bergaya dan berprestij.

"Tidak salah untuk menyarungkan barangan berjenama mewah tetapi ia akan hilang pestij sekiranya seseorang itu gagal membawa 'roh' produk itu sendiri.

"Apa yang dimaksudkan dengan roh itu ialah legasi pemakai yang sinonim dengan orang kelas atasan dan kebanyakan golongan ini tidak perlu menonjolkan sesuatu jenama kerana mempunyai latar belakang seperti keluarga berpendapatan tinggi atau pekerjaan yang baik cukup kuat untuk menzahirkan prestij mereka sendiri," katanya yang pernah menjadi pengarah seni fesyen di sebuah agensi di Amerika Syarikat.



BERBELANJA kerana taksub kepada aliran fesyen untuk mencari populariti sesuatu yang perlu dihindari. - FOTO Google


Penganalisis itu berkata, arus masa kini lebih kepada mencipta personaliti tersendiri yang sebenarnya mampu melahirkan gaya prestij diri masing-masing meskipun tidak membimbit tas tangan puluhan ribu ringgit.


Katanya, kebanyakan ikon terkenal sama ada ahli politik, pemilik perniagaan gergasi waima kerabat diraja sekali pun kini tidak tertumpu untuk menonjolkan jenama mewah milik mereka dan hanya santai menyarung atau mengenakan sesuatu yang selesa untuk diri mereka.

"Keselesaan adalah perkara utama dalam pemakaian kerana pada hari ini jika kita lihat kepada kebanyakan produk fesyen di pasaran mereka sudah memaklumkan jenis bahan yang digunakan dan dengan itu kita dapat mengetahui sama ada produk berkenaan sesuai atau tidak dipadan dengan situasi tertentu.


"Mungkin dalam acara tertentu tidak salah untuk meraikan kemampuan kita dengan menyarung busana atau beg tangan berjenama mewah, asalkan ia adalah asli bukan tiruan. Tapi bukan dalam semua situasi seperti aktiviti gotong-royong pun sanggup menyarung baju tebal kerana terdapatnya logo atau label berkenaan," katanya.


Jelasnya lagi, kebanyakan mereka yang tergolong dalam mangsa fesyen jenama mewah itu akhirnya boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri kerana populariti yang taasub dicipta menyebabkan berakhir dengan kerugian dalam pengurusan kewangan.

"Sebab itu sebelum kita memiliki sesuatu fesyen berjenama mewah, perlu mengetahui tahap kemampuan diri terlebih dahulu dan tujuan memilikinya.Tidak salah jika anda menjadikannya sebagai hadiah kepada diri sendiri.


HAMBA fesyen kadang-kala memakai sesuatu yang tidak kena pada situasi. - FOTO Google


"Namun, jika mengejar populariti tetapi pendapatan tidak setara dengannya, pasti menyebabkan pembelian yang boleh merugikan diri sendiri. Jangan kerana satu tas tangan mewah, sebelum menerima gaji hujung bulan, mi segera menjadi hidangan di atas meja, umpamanya," katanya.


Beliau menambah, mengejar populariti kerana ingin dianggap individu yang sentiasa mengikut arus fesyen mewah juga sebenarnya sesuatu yang sia-sia kerana pandangan khalayak akan sentiasa berubah-ubah terhadap diri setiap individu lain.


"Jangan kerana ingin menunjuk kemampuan anda bersandarkan sesuatu jenama mewah kerana ia tidak kekal lama kerana kita juga tidak dapat jangkakan persepsi setiap orang yang melihat kita berpakaian mewah itu sama ada ia tulen atau membandingkannya.


"Contohnya, mungkin ada orang yang melihat kita berpakaian atau membimbit tas jenama mewah sebagai simbol kejayaan dan tidak kurang juga ada merasakan ia suatu pembaziran. Jadi, menjadi hamba fesyen jenama mewah adalah sesuatu yang sia-sia," katanya.


Ditanya mengenai individu yang menyatakan produk berjenama mewah itu adalah suatu pelaburan, katanya, tidak dinafikan bagi sesetengah orang tas tangan atau busana edisi terhad terutamanya terdapat golongan pembeli yang sanggup menjadi pengguna sekunder dan membayar pada harga lebih tinggi.


"Bagaimanapun, situasi itu jarang berlaku di Malaysia berbanding di negara barat seperti United Kingdom atau Amerika Syarikat kerana terdapat kedai yang membeli semula busana, aksesori atau tas tangan jenama mewah edisi terhad itu untuk dijual semula dengan harga lebih tinggi.


"Malah, pemilik barangan itu juga akan mendapat harga yang lebih tinggi hasil jualan kepada kedai berkenaan kerana di sana amat peka kepada tahap keaslian sesuatu barangan mewah terutama bagi si pengumpul koleksi tertentu," katanya.


Zuhaili menjelaskan, peribadi diri adalah elemen paling utama berbanding mengayakan atau memiliki sesuatu label mewah kerana ia lebih mendominasi dan dapat mempengaruhi persepsi orang lain terhadap kita.



Sumber: Harian Metro

1 view0 comments