COVID-19: 1,615 sampel kes ILI diambil untuk ujian di Sarawak


KUCHING: Sebanyak 1,615 sampel dalam kalangan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) telah diambil untuk ujian COVID-19 daripada 22 fasiliti kesihatan di Sarawak sejak April hingga semalam.


Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, daripada jumlah itu, satu sampel positif telah dikesan di Sibu pada April lalu, 1,571 lagi negatif dan 43 masih menunggu keputusan ujian makmal.


"Selain itu, 91 sampel dari lima klinik kesihatan telah diambil untuk ujian COVID-19 (RT-PCR) dan kesemua keputusan adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut kenyataan itu lagi, pengambilan sampel secara rawak turut dilakukan di pintu masuk utama Sarawak, tapak pembinaan (148), ladang (23), beberapa nelayan di bahagian Betong dan empat taman asuhan kanak-kanak (TASKA).


Sarawak tiada mencatatkan kes positif COVID-19, hari ini, dan jumlah jangkitan kekal 678, manakala kematian akibat virus itu kekal 19 kes. – BERNAMA




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments