COVID-19: 15 juta kes positif seluruh dunia


WASHINGTON: Jumlah jangkitan positif COVID-19 di seluruh dunia teus meningkat mencecah 15 juta kes.


Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan terdapat pertambahan 250,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.


Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 3.93 juta kes positif, diikuti Brazil dengan kes positif jangkitan sebanyak 2.15 juta kes dan India 1.19 juta kes.


Rusia pula melepasi angka jangkitan setengah juta dengan merekodkan 787,000 kes manakala Afrika Selatan, Mexico, Peru dan Chile pula masing-masing melepasi angka 300,000 kes positif COVID-19.


Selain itu, 11 negara merekodkan angka jangkitan positif melebihi 200,000 kes iaitu United Kingdom (UK) , Iran, Sepanyol, Pakistan, Itali, Arab Saudi, Turki, Perancis, Jerman, Bangladesh dan Colombia, manakala tiga lagi yang merekodkan bilangan jangkitan positif melebihi 100,000 ialah Argentina, Kanada dan Qatar.


Negara-negara lain masih merekodkan angka jangkitan COVID-19 di bawah 100,000 kes.


Sementara itu, jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 kini lebih 618,000 kes.


Statistik daripada Johns Hopkins University menunjukkan angka kematian global meningkat lebih 7,000 kes dalam tempoh 24 jam.


AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 142,000 kematian, diikuti Brazil dengan lebih 81,000 kematian manakala UK di kedudukan ketiga dengan 45,000 kematian akibat COVID-19.


Mexico pula merekodkan bilangan kematian sebanyak 41,000 orang, Itali 35,000 orang dan Perancis 30,000 orang manakala India dan Sepanyol pula masing-masing merekodkan 28,000 kes kematian.


Iran merekodkan kes kematian lebih 14,000 orang manakala negara-negara lain masih merekodkan angka kematian di bawah 13,000 kes. - AGENSI



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments