Covid-19: 15 kes baharu, tiada penularan tempatan


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 15 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu 8,587 kes setakat ini.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada kes baharu yang dilaporkan berkaitan penularan tempatan manakala dua kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.


Katanya, 13 kes yang dikesan itu adalah dalam kalangan bukan warganegara.

"Perincian kes jangkitan dalam kalangan bukan warganegara adalah satu kes dilaporkan di Selangor membabitkan kes saringan pra pembedahan di Hospital Selayang dan 12 kes daripada Kluster Pedas (Negeri Sembilan)," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.


Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terdapat 21 kes yang pulih dan dibenarkan discaj hari ini.


"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 8,177 kes, 95.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Katanya, setakat ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 289 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.


"Setakat dilaporkan hari ini, dua kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.


Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini.


Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 121 kes.




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.