COVID-19: 16 kes baharu


PUTRAJAYA: Kes positif COVID-19 semakin meningkat apabila 16 kes baharu dilaporkan iaitu masing-masing lapan kes bagi kes import dan penularan tempatan.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes import, ia membabitkan empat warga asing dan empat warganegara Malaysia yang baru pulang dari luar negara.


Beliau berkata, masing-masing dua pesakit pulang dari India dan Russia, manakala selebihnya pulang dari Arab Saudi, China, Indonesia dan Korea.


Katanya, dengan pertambahan jumlah kes baharu itu ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,831 kes.


"Daripada lapan kes penularan tempatan itu, tujuh kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan seorang warga asing iaitu kes saringan untuk berlepas ke luar negara. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.


"Bagi kes dalam kalangan rakyat Malaysia, tujuh kes itu dikesan di Sarawak iaitu tiga kes daripada kluster Stutong dan masing-masing satu kes bagi kluster Sentosa dan kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Melbourne.


"Satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8,695) dan satu kes saringan kembali bertugas di sekolah. Beliau tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak," katanya.


Bagi jumlah kes sembuh COVID-19 pula, empat kes dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,566 kes bersamaan 96.9 peratus.


Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian disebabkan COVID-19 dan jumlahnya kekal 123 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments