Covid-19: 2,897 individu belum tampil buat ujian saringan kedua



SERAMAI 2,897 individu yang menjalani kuarantin di rumah masih belum tampil ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk melakukan ujian saringan kedua Covid-19 yang perlu dijalankan pada hari ke-13.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan.


"Sehingga 24 Julai lalu, seramai 17,897 individu yang pulang dari luar negara sudah mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah dan sudah ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD.


"Individu yang menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pula perlu mematuhi sepenuhnya kepada syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, individu berkenaan perlu duduk di rumah untuk menjalani kuarantin di rumah sepenuhnya dan elak bercampur dengan ahli keluarga atau rakan serumah.


"Sekiranya penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain (social distancing) sukar diamalkan, mereka perlu memakai pelitup muka.

"Mereka juga perlu menggunakan aplikasi MySejahtera untuk menjalankan penilaian kesihatan kendiri selain penggunaan gelang perintah pengawasan wajib dipakai sepanjang tempoh berkenaan," katanya.


Beliau berkata, semua individu yang menjalani perintah berkenaan juga perlu menjalani ujian Covid-19 pada hari ke-13 di klinik swasta atau klinik kesihatan yang diiktiraf oleh KKM dan mendapatkan salinan keputusan ujian berkenaan.


"Pada hari ke-14 pengembara perlu hadir ke PKD yang terdekat dengan laporan ujian Covid-19 untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah dan untuk menanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD,"katanya.




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments