COVID-19: 2 kluster baharu dikenal pasti


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengenal pasti dua kluster baharu hari ini, masing-masing disahkan sebagai Kluster PUI Sivagangga India dan Kluster Satok.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes indeks kluster Sivagangga membabitkan seorang pemastautin tetap yang pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai iaitu kes ke-8,937.


Beliau berkata, saringan yang dibuat ke atas pesakit di Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada mulanya didapati negatif.


"Individu ini menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), namun tidak mematuhi syarat perintah itu dan kini dalam tindakan pihak berkuasa," katanya.


Beliau berkata, saringan ulangan didapati positif dan pesakit dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.


"Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan.


"Sehingga 28 Julai 2020, 28 kontak rapat telah disaring dan daripada jumlah itu, lima dikesan positif COVID-19, manakala selebihnya disahkan negatif," katanya.


Dr Noor Hisham berkata, kes indeks berkenaan membabitkan seorang pemilik kedai makan dan empat kes positif dalam kluster terbabit ialah pekerja kedai itu.


"Keempat-empat mereka bukan rakyat tempatan, manakala seorang lagi adalah ahli keluarga kepada kes indeks dan semua mereka berkongsi kediaman yang sama," katanya.


Beliau memberitahu, premis berkenaan sudah ditutup bagi menjalani proses pembersihan dan nyah kuman.


Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Satok pula dikesan di sebuah pasar di Satok, Kuching, susulan saringan COVID-19 yang dilakukan di pasar itu.


"Sehingga 28 Julai, seramai 229 orang peniaga sudah disaring dan daripada jumlah itu, empat dikesan positif COVID-19, manakala baki 225 lagi disahkan negatif.


"Kesemua kes positif itu adalah tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan," katanya.


Dr Noor Hisham berkata, aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan di pasar berkenaan sedang dilaksanakan termasuk proses pembersihan dan nyah kuman bagi premis dan kemudahan yang berkaitan.


Susulan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan segala langkah yang disarankan kementerian sebelum ini.


"Ia termasuk mengelakkan daripada berada di kawasan 3C (sesak, sempit dan dekat) serta mengamalkan tabiat mencuci tangan dan memakai pelitup muka," katanya.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments