COVID-19: 3 kluster baharu dikesan


PUTRAJAYA: Tiga lagi kluster baharu dikesan setakat hari ini, masing-masing di Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata satu kluster baharu dikesan di sebuah tapak pembinaan di Sepang, Selangor.


Beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, dua daripada 96 pekerja di tapak binaan berkenaan yang disaring dikesan positif COVID-19.


Katanya, sembilan daripada pekerja yang disaring itu adalah warga Malaysia dan 87 lagi adalah pekerja warga asing.


"Keputusan persampelan setakat ini mendapati dua kes positif COVID-19 dan 94 negatif.


"Kluster ini membabitkan dua warga asing, iaitu seorang rakyat Indonesia yang juga kes indeks kluster ini dan seorang lagi Bangladesh, kontak rapat kes yang dilaporkan pada hari ini.


"Dalam tempoh sama juga, 96 pekerja disaring terdiri daripada sembilan warga Malaysia dan 87 warga asing iaitu 63 Indonesia; 22 Bangladesh dan dua Myanmar," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, kluster kedua ialah Kluster Restoran Kuala Lumpur yang dikesan hasil saringan rawak di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.


Beliau berkata, dua individu daripada seramai 250 orang yang disaring setakat tengah hari tadi didapati positif.


Katanya, dua individu itu adalah warga India termasuk kes induk kluster berkenaan.


"Saringan itu dijalankan terhadap 14 pekerja dan 236 pelanggan restoran terbabit setakat ini," katanya.


Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jeti Kuching pula membabitkan dua warga Indonesia yang juga kes induk serta kontak rapat.


"Sehingga jam 12 tengah hari, seramai 25 orang nelayan disaring dan keputusan persampelan setakat ini adalah dua kes dikesan positif COVID-19 dan 23 adalah negatif.


"Punca jangkitan semua kluster masih dalam siasatan," katanya.





Sumber: Berita Harian

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.