COVID-19: KKM tak lakukan ujian calitan dari rumah ke rumah


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah melakukan sebarang aktiviti ujian calitan atau 'swab test' dari rumah ke rumah, kecuali dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penipuan kumpulan tertentu yang menyamar sebagai petugas kesihatan mahu melakukan ujian itu di rumah mereka.


"KKM tidak melakukan ujian calitan dari rumah ke rumah, kecuali di kawasan PKPD yang diletakkan kawat duri di sekeliling kawasan itu.


"Selain kawasan PKPD, tiada tindakan daripada KKM pergi dari rumah ke rumah membuat ujian calitan. Apa yang berlaku ini adalah kes penipuan.


"Saya ada bercakap dengan KKM dan hasil pemeriksaan nombor pendaftaran van KKM dalam gambar yang tular ketika ini mendapati ia adalah nombor pendaftaran kereta Myvi," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara langsung selepas menghadiri mesyuarat khas Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya yang disiarkan hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung gambar dan dakwaan yang tular di media sosial, mengenai beberapa individu mendakwa sebagai petugas KKM, datang ke rumah untuk melakukan ujian calitan.


Ismail Sabri menegaskan, sesiapa yang berdepan dengan situasi berkenaan digesa melaporkan kepada polis dalam kadar segera, kerana bimbang menjadi mangsa penipuan dan rompakan.


"Jika ada kes individu datang ke rumah mengaku daripada KKM untuk apa sahaja tujuan, tolong lapor kepada polis dengan segera.


"Saya percaya KKM juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini dan mereka akan mengambil tindakan segera.


"Saya harap kita semua berhati-hati dan jangan menjadi mangsa penipuan kepada segelintir pihak yang mengambil kesempatan sepanjang PKP ini," katanya.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments