COVID-19: Lima kes positif baharu


PUTRAJAYA: Lima kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini membabitkan empat kes penularan dalam negara dan satu kes import dari India iaitu warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada empat kes penularan tempatan itu, satu kes membabitkan warga asing yang dikesan di Kuching, Sarawak ketika saringan bergejala.


"Selain itu, Sarawak turut mencatatkan dua lagi kes membabitkan rakyat tempatan iaitu ketika kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 bagi kes ke-8,732 dan saringan petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan.


"Satu lagi kes dikesan di Selangor iaitu ketika saringan prapembedahan di Hospital Sungai Buloh. Sehingga kini, jumlah pesakit yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah lima pesakit dan seorang masih memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan kes baharu itu ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 8,734 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan pula 86 kes.


Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini hanya dua kes pulih dicatatkan dan menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit pulih sebanyak 8,526 kes bersamaan 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


Dr Noor Hisham turut memaklumkan, tiada pertambahan kes kematian dan jumlahnya kekal 122 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.