COVID-19: Penduduk lega dibenarkan keluar


BANTING: Penduduk Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Bukit Changgang, Kuala Langat di sini yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pentadbiran (SEMCO) bersyukur apabila dibenarkan keluar bersyarat bermula hari ini.


Kebenaran itu memberi ruang kepada penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan bank, melakukan pemeriksaan kesihatan selain membeli bekalan keperluan asas selepas diarahkan berada di rumah sejak 2 Jun lalu.


Tinjauan mendapati, hanya penduduk tempatan yang sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dibenarkan keluar, manakala warga asing tidak dibenarkan berbuat demikian.


Pelepasan keluar itu bagaimanapun hanya dibenarkan sehingga jam 12 malam, manakala bagi yang bekerja mengikut syif dan berhadapan situasi kematian ahli keluarga dan kesihatan, diberi pertimbangan bersyarat.


Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama diletakkan dalam perintah SEMCO bermula 2 hingga 16 Jun selepas 20 warga Bangladesh yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan pada 28 Mei lalu.


Sehingga kini, seramai enam penduduk tempatan dan masing-masing seorang warga Bangladesh, Nepal dan Thailand disahkan positif COVID-19 dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.


Seorang penduduk yang bekerja di bahagian kejuruteraan di KLIA, Mohd Fadzli Bakhi, 31, berkata sejak kawasan itu dikenakan SEMCO, dia tidak dapat berkerja dan kelonggaran yang diberikan membolehkannya berbuat demikian.


"Kelonggaran ini memberi banyak kelegaan kerana sepanjang perintah SEMCO sejak seminggu lalu saya dan rakan-rakan banyak yang terputus wang tunai untuk membeli barangan keperluan sehingga menyebabkan kami terpaksa meminjam dari luar," katanya.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.