COVID-19: Penggunaan MySejahtera akan diwajibkan


PUTRAJAYA: Semua pemilik premis akan diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera apabila ia akan dimasukkan dalam peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan masalah untuk mengesan kontak rapat kes jangkitan COVID-19 berikutan ada premis yang tidak menggunakan aplikasi MySejahtera atau aplikasi lain untuk tujuan pengesanan.


Beliau berkata, ada juga premis perniagaan yang tidak mengambil rekod pelanggan yang memasuki premis masing-masing termasuk nombor telefon mereka.


"Jika kita tidak ada rekod itu, apa yang kita akan laksanakan ialah (mengisytiharkan) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di kawasan berkenaan dan mengambil tindakan kesihatan awam dalam pencegahan dan pengawalan penyakit itu.


"Tindakan itu sudah dilaksanakan (di kawasan Kluster PUI Sivagangga). Kita akan wajibkan premis atau pemilik kedai untuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan ini akan kita masukkan dalam peraturan Akta 342," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.


Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak membawa kanak-kanak bawah usia dua tahun ke tempat awam atau yang boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan wabak COVID-19.


Beliau berkata, ketika ini pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan kepada kanak-kanak berusia bawah dua tahun kerana ia berkemungkinan menyebabkan kanak-kanak terbabit lemas selain mereka tidak pandai untuk membuka pelitup muka terbabit.


"Kalau untuk memakaikan pelitup muka kepada anak (yang berusia bawah dua tahun) mereka mungkin akan lemas atau mereka tidak pandai membuka pelitup muka itu. Kalau ada hingus dan sebagainya, ia akan menjadi masalah kepada kanak-kanak itu.


"Umur dua tahun kita tidak galak langsung (untuk dibawa ke tempat awam). Tempat paling selamat adalah di rumah," katanya.



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments