COVID-19: Penularan babit rakyat Malaysia capai angka satu digit


PUTRAJAYA: Penularan wabak COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia kini mencapai angka satu digit dan tiada peningkatan mendadak dilaporkan, setakat hari ini.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes di wad biasa COVID-19 dan Unit Rawatan Rapi (ICU) turut berkurangan.


Beliau berkata, perkembangan itu adalah hasil tindakan kesihatan awam yang dijalankan secara agresif dan tertumpu di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan kerjasama pelbagai pihak.


"Kini, pendekatan sama digunakan untuk terus mengawal penularan dalam kalangan kes membabitkan warganegara dan bukan warganegara.


"Sebelum ini lagi, PKD memainkan peranan penting dalam melaksanakan tindakan seperti mencegah dan membendung jangkitan yang dilaksanakan secara berperingkat serta berterusan.


"Antara tindakan penting yang sudah dilaksanakan sejak permulaan gelombang COVID-19 di negara ini ialah kegiatan siasatan dan pengesanan secara aktif.


"Ia merangkumi siasatan kes COVID-19 di lapangan, termasuk kontak rapat pesakit, pengesanan kes secara aktif yang dilakukan dari rumah ke rumah dan aktiviti saringan secara bersasar," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut melakukan aktiviti pensampelan secara pandu lalu dan nyahkuman di rumah pesakit serta lokasi yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.


"Peranan penyelarasan bagi semua aktiviti ini dimainkan oleh Bilik Gerakan COVID-19 di setiap daerah dan negeri.


"Ini adalah salah satu faktor utama yang menunjukkan kejayaan kerana ia dilakukan serentak di seluruh negara," katanya.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments