COVID-19: Satu kes import di Sarawak, dua kluster kekal aktif



KUALA LUMPUR: Sarawak mencatatkan pertambahan satu kes positif COVID-19 di negeri itu, hari ini.


Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan medianya, berkata kes berkenaan dikategorikan sebagai kes import kerana individu terbabit tiba dari Kota Kinabalu.


“Kes ke-752 ini merupakan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat pembinaan di Kuching.


“Dia pernah melakukan perjalanan ke Kota Kinabalu pada 20 September dan pulang ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada 1 Oktober,” kata jurucakap JPBNS dalam kenyataan tersebut.


Jurucakap itu berkata, keputusan ujian saringan rT-PCR terhadapnya sejurus tiba di Sarawak adalah negatif sebelum dia diarahkan menjalani kuarantin 14 hari di rumah.


“Bagaimanapun, keputusan ujian saringan pada hari ke-10 yang dilakukan pada 9 Oktober mendapati dia positif COVID-19,” katanya.


Pesakit itu kemudian dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.


Sementara itu, JPBNS turut mengesahkan Kluster Bah Arnab di Kuching dan Kluster Putra, Bintulu kekal aktif.


“Jumlah yang telah disaring setakat ini adalah 40 orang keseluruhannya. Bagi kes di bawah kluster ini, sehingga kini empat individu dilaporkan positif.


“Kluster Putra di daerah Bintulu pula mencatatkan enam individu positif virus itu. Jumlah yang telah disaring adalah 113 individu,” tambahnya.


Sehingga ke hari ini, daerah Kuching, Sibu, Bintulu dan Lubok Antu kekal sebagai zon kuning dengan jumlah keseluruhan 12 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.



Sumber: Astro Awani

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.