COVID-19: Semua daerah di Sarawak berstatus hijau


KUCHING: Daerah Kuching bertukar status daripada kuning kepada hijau apabila tidak mencatatkan kes positif COVID-19 selama 14 hari.


Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas ini bermakna semua daerah di Sarawak berada dalam status hijau.


"Kerajaan negeri amat berterima kasih kepada petugas barisan hadapan dan semua rakyat negeri ini yang memberi kerjasama dalam usaha kita memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Sarawak.


"Bagaimanapun, jangan kita mengambil ringan kerana kita masih lagi berperang menentang virus ini," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, pada Rabu.


Beliau berkata, indikator kod warna daerah adalah berdasarkan bilangan kes yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.


Katanya kod warna merah bagi bilangan kes melebihi 40 orang, kod warna kuning bagi bilangan kes 1-40 orang dan kod warna hijau bagi tiada kes.


Malah tegasnya, status tidak melibatkan kes import dari luar negara.


Selain itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, satu kes import COVID-19 dilaporkan di Sibu hari ini.


"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini sebanyak 573 kes.


Kes ke-573 ini melibatkan seorang warganegara Malaysia yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas di Arab Saudi.



"Kes telah balik ke Malaysia pada 03 Julai 2020 dari Arab Saudi dengan menaiki Saudi Arabia Airline melalui KLIA.


Kontak merupakan kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 7 Julai untuk rawatan lanjut," katanya.



Sumber: Astro Awani

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.