COVID-19: Tiada kes baru, Samarahan kini Zon Hijau


KUCHING: Sarawak merekodkan sifar kes positif baharu COVID-19 hari ini dengan keseluruhan jumlah kes positif kekal sebanyak 566 kes setakat ini.


Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan memaklumkan tiada kes baharu yang sembuh dan discaj dari hospital hari ini dengan keseluruhan kes yang telah sembuh dan discaj kekal seramai 535 orang atau 94.52 peratus. 

"Sebanyak 14 orang masih menerima rawatan di dalam wad isolasi hospital dan jumlah kematian kekal sebanyak 17 orang," katanya. 


JPBNS turut memberitahu seramai 21 orang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan satu kes masih menunggu ujian makmal. 


Dalam pada itu, jelasnya, Daerah Samarahan hari ini telah bertukar status dari kuning kepada hijau setelah tiada kes baru COVID-19 dilaporkan di daerah tersebut dalam tempoh 14 hari dari kes terakhir. 


"Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Kuning setakat hari ini sebanyak dua daerah manakala 38 daerah berstatus Hijau," tambahnya. 


Selain itu, JPBNS turut memaklumkan seramai 229 orang dibawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk di hotel hari ini bagi menjalani kuarantin. 


Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 13 hotel adalah seramai 742 orang.

Bagi pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, JPBNS berkata, sehingga kini sebanyak 1,531 premis telah dipantau iaitu pasaraya (283), restoran (354), kilang (22), bank (166), pejabat kerajaan (78), penjaja (25), pasar tani/awam (91), tempat ibadah (86), tempat riadah (40), tapak pembinaan (34) dan lain-lain (635).




Sumber: Utusan Borneo

0 views0 comments